suria

PNB Harap Projek Merdeka PNB118 Berjalan Lancar, Tidak Melebihi Bajet

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) berharap projek pembinaan Warisan Merdeka yang dikenali sebagai Merdeka PNB118, berjalan lancar tanpa melebihi bajet asal.

Pembinaan bangunan dengan ketinggian 630 meter atau setinggi 118 tingkat  itu merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek Warisan Merdeka dengan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion.

"PNB berharap agar fasa pertama projek ini dapat ditangani dengan sebaiknya," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman pada Jumaat.

Beliau ditemui media selepas majlis Jalinan Rakan Korporat yang memperkenalkan 11 syarikat Kumpulan PNB yang bertindak sebagai Rakan Korporat MSAM 2016, di sini.

Projek Warisan Merdeka itu melibatkan pembinaan pusat beli-belah yang telah dimulakan pada 2014 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Projek di kawasan seluas 19 ekar (7.689 hektar), bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di Asia dan tersenarai sebagai MegaTall Building kelima tertinggi di dunia..

Sebelas syarikat Rakan Korporat itu akan terlibat dalam Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016, yang dijadualkan berlangsung di Mini Stadium Tapah pada 20 April hingga 28 April ini.

Sementara itu, PNB menyasar 150,000 pengunjung pada MSAM tahun ini yang bertemakan 'Pelaburan 360 Hari'.

Antara pengisian tahun ini ialah program seperti Jejak Pelabur Bijak yang dibawa oleh Maybank, Jejak Pelabur Cilik oleh I and P, CCM Interschool Showdown, Simposium Usahawan PNB-MIDF, PNB-MIDF Ringgit Savvy, Santai Labur, Hibur Labur Bersama PNB dan pertandingan mewarna.

Antara rakan Korporat MSAM ialah Malayan Banking Bhd, Sime Darby Bhd, I and P Group Sdn Bhd, SP Setia Bhd and UMW Holdings Bhd.

MSAM akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 20 April manakala majlis penutup akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

MSAM yang dilancarkan sejak 2000 telah menarik lebih 3.1 juta pengunjung.

MSAM bermatlamat mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan kepentingan merancang kewangan di samping memberi peluang kepada orang ramai melihat secara dekat dan mengetahui lebih lanjut mengenai kegiatan dan operasi syarikat pelaburan PNB serta prestasi kejayaan syarikat-syarikat tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain