suria

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Datuk Norasni Ayob, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Pengerusi Majlis Islam Sabah Datuk Mohd Suhaili Said dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah Abdul Halim Nayan (kanan) pada majlis pelancaran Baucar Tunai Bank Islam pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) pada Jumaat menandatangai perjanjian persefahaman bersama Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) bagi penggunaan kemudahan Tunaian Baucar Bank Islam.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Datuk Norasni Ayob berkata kemudahan itu akan mempercepatkan proses pengagihan zakat melalui Pusat Zakat Sabah (PZS) kepada golongan asnaf di negeri ini memandangkan kaedah pembayaran itu lebih cekap berbanding cek.

"Kami berharap usaha Muis mengadakan kerjasama strategik dengan Bank Islam hari ini akan menjadi contoh yang boleh diikuti oleh badan-badan korporat dan majlis-majlis agama lain di seluruh negara," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian persefahaman itu di sini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Norasni dan Timbalan Setiausaha Muis Mohd Adnan Rosdin Mohd Ariff disaksikan oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif dan Pengerusi MUIS Datuk Suhaili Said.

Suhaili berkata kemudahan itu dapat mengurangkan pengeluaran dan pemprosesan cek, terutama kepada Muis yang terpaksa mebayar kos sehingga 69 sen bagi setiap keping cek yang dikeluarkan.

"Sebagai contoh, tahun lalu, PZS telah membelanjakan sebanyak RM3,300 bagi operasi pengurusan cek kira-kira 4,800 keping kepada asnaf-asnaf di Sabah.

"Muis menjangkakan sebanyak 550 cek dikeluarkan setiap bulan pada masa akan datang untuk pengagihan zakat yang berjumlah RM4,554 setahun," katanya.

Artikel Lain