suria

TNB-Talian Penghantaran TNB Pelawa Peluang Pelaburan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd mempelawa pelabur untuk melabur di Pulau Besar, Melaka, sama ada dalam sektor pelancongan atau projek lain yang boleh memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat setempat.

Ia adalah seiring dengan projek talian penghantaran atas secara 'monopole' sepanjang 4.2 kilometer dengan kos kontrak bernilai RM32.5 juta, yang telah disiapkan TNB serta mula beroperasi pada Februari 2015.

Pengurus Besar Negeri (Melaka) Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Baderul Sham Saad berkata projek ini telah siap enam bulan lebih awal daripada sasaran sebenar iaitu Ogos 2015.

"Dengan penyempurnaan projek tersebut ia telah membekalkan tenaga kepada lebih kurang 10 pengguna di Pulau Besar termasuk sebuah sekolah agama, muzium dan juga beberapa kedai makan.

"Bekalan tersebut dapat mengurangkan kos operasi mereka yang mana sebelum ini terpaksa bergantung kepada set penjana tenaga," katanya kepada pemberita semasa kunjungan suai kenal media TNB di Melaka baru-baru ini.

Terdapat 12 menara penghantaran dengan tapaknya dipasang pada kedalaman 40 meter di dalam laut dan mempunyai kuasa tenaga sehingga 132KV, katanya. 

Beliau menjangkakan tidak lamai lagi syarikat pusat peranginan yang akan  beroperasi di pulau tersebut boleh menggunakan bekalan tenaga daripada TNB.

Selain itu, terdapat kemungkinan negeri-negeri lain juga akan mengguna pakai teknologi tempatan tersebut di negeri masing-masing seperti Pulau Pinang dan Johor (Mersing).

Talian penghantaran sepanjang 4.2 kilometer yang menghubungkan Pantai Siring di tanah besar ke Pulau Besar itu merupakan usaha sama 50:50 antara TNB dan kerajaan negeri Melaka.

Jika sambungan dibuat melalui dasar laut sepenuhnya, kos sebenarnya adalah kira-kira RM90 juta tetapi dengan talian atas 'monopole', kos hanya RM32.5 juta.

Talian elektrik secara 'monopole' adalah rendah kos, mudah diselenggara, cekap dan terjamin serta tidak memerlukan perubahan menara bagi kerja-kerja naik taraf pada masa hadapan.

Artikel Lain