suria

PPIPBM Gesa Usahawan Bumiputera Tingkat Daya Saing

KUALA LUMPUR: Usahawan Bumiputera digesa meningkatkan daya saing mereka di peringkat dalam dan luar negara selain memperkasakan perniagaan masing-masing dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan sedia ada.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Rosli Abd Shukor berkata antara langkah itu termasuk meningkatkan keupayaan pengeluaran produk serta memperolehi sijil halal atau pengiktirafan yang diperlukan.

"Ia membantu mengembangkan peluang eksport produk mereka apabila aspek kualiti dan kuantiti pengeluaran dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri program "Pocket Talk" anjuran bersama PPIPBM bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank), di sini, Khamis.

Rosli berkata PPIPBM akan turut giat melaksanakan program membantu ahli berdepan persaingan yang disifatkannya sukar dielak serta cabaran lain perniagaan.

"PPIPBM akan menumpukan program menangani pelbagai isu perniagaan semasa termasuk kepentingan perniagaan dalam talian seperti e-Dagang, aspek penjenamaan produk dan pembiayaan yang dapat memberi impak tinggi terhadap daya saing  syarikat ahlinya.

"Ini berikutan adanya adanya perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang memerlukan syarikat membuat persediaan mulai sekarang.

Beliau turut mengesa usahawan Bumiputera memanfaatkan peluang mengembangkan perniagaan daripada program atau institusi berkaitan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Majlis Amanah Rakyat dan Tekun Nasional.

PPIPBM berperanan sebagai pemudah cara dan pengantara kepada usahawan menerusi khidmat nasihat dan maklumat perniagaan kepada ahlinya.

Sejak ditubuhkan pada 1987, PPIPBM kini dianggotai 1,500 ahli dan 2,000 ahli bersekutu termasuk ahli gabungan seperti Syarikat Faiza Sdn Bhd, Habib Jewels Sdn Bhd dan Ramly Group.

Artikel Lain