suria

Eco World Catat Keuntungan Sebelum Cukai Dan Pendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Eco World Development Group Bhd meningkat kepada RM31.16 juta dalam suku pertama yang berakhir pada 31 Jan, 2016, daripada RM5.64 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan melonjak kepada RM463.51 juta berbanding RM158.03 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala pendapatan sesaham naik kepada 0.87 sen daripada 0.60 sen, sebelumnya.

"Projek berterusan yang menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan kasar termasuklah Eco Majestic dan Eco Sky di Lembah Klang serta Eco Botanic, Eco Spring, Eco Summer dan Eco Business Park 1 di Pulau Pinang," kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Khamis.

Pemaju hartanah itu meraih jualan rendah sebanyak RM410.7 juta dalam suku pertama berbanding RM439.9 juta yang dicapai dalam suku yang sama tahun lepas.

Keseluruhannya, jualan kumpulan pada tahun kewangan ini, sehingga 29 Feb, 2016, yang berjumlah RM607.8 juta, sejajar dengan jualan dicapai dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan 2015 sebanyak RM621.1 juta.

Daripada jumlah jualan, RM344.6 juta disumbang daripada projek di Lembah Klang, RM233.1 juta daripada Iskandar Malaysia dan baki RM30.1 juta disumbang daripada projek di Pulau Pinang.

"Momentum jualan yang berterusan itu adalah petunjuk yang menggalakkan bahawa projek kumpulan terus mendapat sambutan daripada pelanggan," kata Eco World.

Dalam tahun kewangan semasa, kumpulan itu berkata jualannya akan disokong oleh pelancaran fasa baharu dan pengenalan produk baharu dalam projek yang sedang dibangunkan.

Artikel Lain