suria

Aimfora Labur RM950 Juta Bangunkan Bandar Islam Di Tok Bali

PASIR PUTEH: Aimfora Holdings Sdn Bhd memperuntukkan RM950 juta untuk membangunkan sebuah bandar Islam bertaraf antarabangsa di Tok Bali di sini, dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Mohammed Hashbollah berkata pembangunan bandar berkenaan akan melibatkan antaranya pusat kewangan Islam, pusat komersial Zheng Ho, perumahan eksklusif, taman bandar, perumahan kos sederhana, pusat ilmu, komuniti Islam, masjid terapung, hospital Islam dan perumahan eksklusif.

"Kerajaan negeri pada dasarnya sudah bersetuju meluluskan tapak seluas 140 hektar berhampiran dengan terusan Semerak (di Tok Bali) untuk projek ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mendengar taklimat mengenai peluang pelaburan di Tok Bali di sini, Isnin.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh Mohd Anis Hussein yang juga Ketua Jajahan Pasir Puteh.

Mohammed berkata syarikat tersebut juga akan melaksanakan projek membangunkan Sungai Semerak dan Terusan Tok Bali di samping pembinaan padang golf bagi memesatkan industri pelancongan di kawasan tersebut.

Beliau berkata projek berkenaan akan bermula dalam tempoh enam bulan dari sekarang termasuk urusan pengambilan balik tanah dan bayaran pampasan kepada pemilik tanah terbabit.

Beliau berkata kira-kira 12,000 penduduk di kawasan berkenaan akan mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan apabila projek tersebut siap.

Mohammed berkata pelabur dari luar negara terutama Bangladesh, Syria dan China sudah memberi jaminan akan turut melabur di kawasan itu.

Sementara itu, Mohd Anis berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap syarikat terbabit terutama dalam urusan pengambilan balik tanah, bagi tujuan pembangunan tersebut.

Artikel Lain