suria

Syarikat Malaysia Raih Jualan RM556.42 Juta Di Gulfood 2016

KUALA LUMPUR: Sebanyak 65 syarikat Malaysia yang menyertai pameran perdagangan antarabangsa Gulfood 2016 pada 21-25 Februari 2016 lepas, berjaya meraih hasil jualan sebanyak RM556.42 juta.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), acara lima hari itu menjadi platform untuk syarikat tempatan memaparkan pelbagai produk makanan dan minuman (F and B) seperti konfeksionari, ramuan makanan, sos dan pes, makanan sedia dimakan, produk makanan sejuk beku serta berasaskan minyak sawit.

"Prospek penyertaan Malaysia di Gulfood itu kekal memberangsangkan biarpun dalam keadaan kejatuhan harga minyak di rantau itu," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Menurut Matrade, syarikat-syarikat Malaysia turut menerima sebanyak 7,544 pertanyaan dagangan daripada pihak berminat merangkumi kalangan pengedar hingga pengendali pusat pemerolehan di Emiriyah Arab Bersatu, negara-negara Teluk yang berjiran iaitu Asia Barat selain negara benua kecil, Asia Tengah serta Afrika.

Mengikut entiti penasihat kewangan serantau, Alpen Capital, pasaran makanan dibungkus di rantau Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) dijangka terus berkembang pesat.

Ini berikutan meningkatnya permintaan terhadap pemakananan sihat serta menu antarabangsa daripada kalangan ekspatriat serta pengguna muda.

Selain itu, import makanan halal ke rantau berkenaan juga dijangka berlipat ganda daripada AS$25.8 bilion (US$1=RM4.05) pada 2010 kepada AS$53.1 bilion menjelang 2020, iaitu mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata (CAGR) sebanyak 7.5 peratus.

Eniti lain, Al Masah Capital, pula mengunjurkan pasaran perkhidmatan makanan rantau GCC itu akan berkembang pada CAGR 6.8 peratus kepada AS$24.5 bilion menjelang 2018. -- Bernama

Gulfood 2016, Matrade, Malaysia

Artikel Lain