Sudan Pelawa Pelabur Malaysia Teroka Sektor Ternakan

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2016 2:56 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sudan yang mahu meningkatkan dan meluaskan hubungan dua hala dengan Malaysia, mempelawa pelabur Malaysia mengkaji potensi perniagaan di negara itu terutama dalam sektor pelancongan dan ternakan.

Duta Besarnya ke Malaysia Khalid Abdelgadir Shukri berkata jumlah dagangan dan pelabutan sedia ada antara kedua-dua negara masih kecil, namun berpotensi besar untuk diteroka.

Eksport utama Malaysia ke Sudan meliputi minyak sawit, produk logam dan mesin, manakala import sebahagian besarnya terdiri daripada produk pertanian seperti gam Arab, bunga raya dan jintan hitam serta produk pertroleum.

"Malaysia pernah mengeksport perabot dan peranti elektrik pada awal 2000. Namun atas beberapa sebab, terutama persaingan dari China, kita tidak lagi melihat banyak produk Malaysia di Sudan walaupun kualitinya tinggi," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini di ibu pejabat agensi berita itu di sini.

Shukri berkata pelabur Malaysia masih boleh meneroka bidang dan sektor lain, dengan industri pelancongan dan ternakan merupakan bidang terbaik untuk jalinan kerjasama antara Malaysia dan Sudan.

"Malaysia mengimport kira-kira 70 peratus daripada keperluan dagingnya, dan Sudan menjadi tempat terbaik untuk mengimport atas pelbagai sebab. (Daging) negara kami sangat lazat, organik dan bebas bahan kimia, dan anda boleh pastikan ia adalah 100 peratus halal," katanya.

Sudan mempunyai sumber pertanian yang besar, dan negara itu juga mempunyai  infrastruktur yang baik untuk pengeluaran ternakan, katanya dan menambah bahawa Malaysia boleh menjadi hab untuk mengeksport daging dari Sudan ke negara-negara anggota Asean.

Lokasi unik Sudan di pertengahan benua juga menjadikannya hab pusat untuk membekalkan pasaran ke negara jiran, sebagai pintu masuk kepada negara seperti Chad, Afrika Tengah, Ethiopia dan Sudan Selatan.

Pelancongan, merupakan satu lagi sektor yang berpotensi, yang kini semakin berkembang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Sudan, kata Shukri.

"Sudan mempunyai banyak tempat bersejarah dan tapak arkeologi yang diiktiraf UNESCO. Kami mempunyai beratus-ratus piramid bertarikh sehingga 2,000 tahun lepas selain muzium yang hebat.

"Negara kami juga mempunyai kawasan menyelam terkenal di dunia di luar pantai Laut Merah, selain gunung, mata air dan hidupan liar," kata Shukri.

Sudan kaya dengan sejarah tinggalan kerajaan besar, termasuk istana, kuil, gereja dan piramid selain ketamadunan Islam.

Pelancong asing kebanyakannya dari Eropah, Rusia dan Teluk Arab. 

Shukri berkata bagi menarik pelaburan asing, Sudan menawarkan banyak kelebihan dan insentif kepada pelabur, termasuk pengecualian cukai sehingga 10 tahun, selain melaksanakan antara undang-undang pelaburan terbaik di rantau ini.

"Undang-undang kami tidak membezakan antara penduduk tempatan dan warga asing. Anda akan dilayani sebagai rakyat Sudan.

"Pelabur mempunyai hak untuk menghantar pulang wang, modal dan keuntungan kembali ke negara mereka sendiri atau ke mana-mana sahaja," kata Shukri.

Negara ini juga memudahkan prosedur pelaburan menerusi satu saluran - Kementerian Pelaburan - sejak 2002.

Kini China merupakan pelabur asing terbesar di negara 41 juta penduduk itu.

Shukri berkata Malaysia merupakan antara negara yang paling awal melabur di Sudan iaitu melalui Petronas pada 1995, selepas jalinan perhubungan Khartoum-Kuala Lumpur pada 1991.

"Malangnya, kebanyakan telaga kini milik Sudan Selatan. Ada yang masih dalam kawasan Sudan. Petronas masih mempunyai ibu pejabat besar di Khartoum, yang merupakan antara yang terbesar di Afrika," katanya.

Sudan Selatan berpisah dari Sudan dan menjadi negara merdeka pada 2011.

Shukri memberi jaminan bahawa Sudan kini negara yang stabil dan selamat hasil usaha konsisten yang diambil oleh kerajaan menerusi perjanjian damai dengan puak pemberontak.

"Keselamatan di Sudan kini sangat stabil. Kerajaan telah mengambil tindakan terbaik untuk menstabilkan negara.

"Sekarang keadaan di Sudan selamat dan tidak timbul isu mengenai aspek keselamatan," katanya sambil menambah bahawa penduduk Sudan peramah dan sukakan keamanan.-- Bernama




Tags / Kata Kunci: Sudan , Khalid Abdelgadir Shukri

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan