suria

Loji HR-PIB Baharu BASF Petronas Mula Pengeluaran Suku-4 2017

KUALA LUMPUR: Loji pengeluaran Highly-Reactive Polyisobutene (HR-PIB) di tapak bersepadu BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd dijangka memulakan pengeluaran pada suku keempat 2017.

"Loji tersebut, yang merupakan pelaburan terbaharu usaha sama BASF dan Petronas Chemicals Group Bhd itu, akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara," kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam satu kenyataan, Jumaat.

Petronas berkata loji itu akan mempunyai kapasiti 50,000 tan metrik HR-PIB.

HR-PIB adalah produk pengantara penting bagi pembuatan bahan api berprestasi tinggi dan aditif pelincir. 

Syarikat itu berkata loji tersebut yang terletak di satu daripada dua tapak Verbund (bersepadu) BASF di Asia Pasifik, menawarkan peluang sinergistik bagi penyepaduan yang membolehkan penggunaan mapan bahan mentah, tenaga dan pengetahuan teknologi.

"Ini menyokong falsafah Verbund dalam memastikan penyediaan yang terjamin dan memaksimumkan penggunaan tenaga dan bahan mentah yang cekap," kata syarikat itu. 

Petronas berkata selain loji baharu itu, BASF juga mengendalikan kemudahan pengeluaran bagi HR-PIB di tapak Verbund di Ludwigshafen, Jerman dan Antwerp, Belgium dan dalam usaha sama dengan Sinopec YPC di Nanjing, China.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong, merasmikan upacara pecah tanah, di sini, Jumaat.-- Bernama


Artikel Lain