suria

TPPA Tidak Akan Jejaskan Syarikat Vendor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik tidak akan menjejaskan syarikat-syarikat vendor Bumiputera, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua syarikat induk baharu hari ini bagi pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera.

"TPPA tidak akan jejaskan vendor-vendor Bumiputera, dan hari ini kita bekerjasama dengan dua lagi syarikat induk, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat induk adalah 18 syarikat sehingga kini," kata Mustapa ketika berucap pada majlis menandatangani MoU pelaksanaan program pembangunan vendor Bumiputera dengan dua syarikat induk itu di sini.

Syarikat induk berkenaan akan membantu syarikat vendor Bumiputera dari segi bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta pembangunan penyelidikan.

Dua syarikat tersebut adalah Serba Dinamik Sdn Bhd dan Uzma Engineering Sdn Bhd.

Dengan termeterainya dua lagi MoU, jumlah syarikat induk meningkat kepada 18 syarikat berbanding 16 pada tahun 2014.

Daripada jumlah itu, 11 adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah naungan Khazanah Nasional Bhd, enam syarikat tempatan dan satu syarikat multinasional.

Keseluruhan syarikat mempunyai perolehan sebanyak RM10.867 bilion pada 2015 dan sehingga kini sebanyak 2,670 syarikat vendor Bumiputera telah dilantik oleh syarikat induk.

Secara keseluruhan, sehingga Disember 2015, sebanyak 55,066 syarikat vendor telah berdaftar di bawah 18 syarikat induk.

Daripada jumlah tersebut, 17,729 (32 peratus) adalah syarikat vendor Bumiputera manakala sebanyak 37,337 (68 peratus) adalah syarikat vendor bukan Bumiputera dan luar negara.

Nilai perolehan yang dinikmati sebanyak RM23.15 bilion (42 peratus) manakala nilai perolehan yang diberikan kepada syarikat vendor bukan Bumiputera dan luar negara ialah RM30.95 bilion (58 peratus).

Artikel Lain