700,000 Syarikat Terlibat Banci Ekonomi 2016 Bermula April Ini

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2016 5:50 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sebanyak 700,000 syarikat pelbagai sektor ekonomi kecuali perdagangan edaran, akan terlibat dalam proses Banci Ekonomi 2016 di seluruh negara bermula April sehingga November ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Dr Abdul Rahman Hasan berkata, hasil bancian setiap lima tahun yang kali terakhir dijalankan pada 2010, akan dijadikan penanda aras baharu bagi nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu, tegasnya, semua syarikat terlibat diwajibkan menjawab soalan sebagaimana ditetapkan mengikut Akta Perangkaan 1965 dan Jabatan Perangkaan akan membuat tindakan susulan terhadap syarikat yang gagal berbuat demikian.

Jabatan itu kini dalam peringkat akhir penyediaan set soalan yang dihantar secara berperingkat menerusi perkhidmatan Pos Malaysia kepada syarikat-syarikat terbabit bermula bulan depan.

"Mereka diberi tempoh sebulan untuk menjawab soalan-soalan tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Perangkaan dan Pos Malaysia Bhd bagi perkongsian maklumat perangkaan bagi pembangunan alamat kediaman komprehensif, di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata selain dijadikan penanda aras baharu bagi nilai KDNK, bancian itu juga bagi mengenal pasti sektor ekonomi lain.

"Bancian yang melibatkan lebih kurang 200 soalan tersebut akan membantu jabatan untuk mengenal pasti sumber-sumber dan sektor ekonomi yang baharu muncul seperti e-dagang," katanya. 

Menurutnya, sebanyak 26 laporan hasil bancian tersebut akan mula dikeluarkan secara berperingkat bermula pada Jun tahun hadapan. 

"Malah, sebuah portal untuk bancian ekonomi itu akan turut dibangunkan oleh jabatan bagi kemudahan syarikat-syarikat merujuk serta menilai kedudukan syarikat mereka berdasarkan penanda aras bancian seperti aspek pemberian gaji dan hasil produktiviti sesuatu sektor," katanya. 

Selain itu, mengulas memorandum ditandatangani bersama Pos Malaysia, Abdul Rahman berkata kerjasama itu akan membantu jabatan dalam pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dengan membekalkan maklumat berkaitan tempat kediaman.

Katanya, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan sebanyak 32.4 juta orang pada tahun 2020 manakala bilangan tempat kediaman dijangka mencecah 9 juta berbanding 7.3 juta pada 2010.

"Oleh itu, struktur alamat yang lengkap serta bersesuaian dengan piawaian antarabangsa adalah amat diperlukan bagi memastikan modenisasi pengumpulan data dapat direalisasikan secara lebih berkesan," katanya.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Banci Ekonomi , Ketua Perangkawan , KDNK

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan