suria

Eksport Barangan Perkilangan Malaysia Akan Meningkat

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia, terutama barangan perkilangan, dijangka bertambah baik seiring dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih baik tahun ini, kata RHB Research Institute Sdn Bhd.

Ia berkata penyusutan mendadak nilai ringgit juga akan menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa, dan akan mencatat pemulihan sederhana pada 2016.

"Kami menjangkakan eksport sebenar negara berkembang 2.5 peratus pada 2016, meningkat sedikit daripada anggaran +1.0 peratus pada 2015, namun masih perlahan berbanding 5.1 peratus pada 2014," kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, RHB Research berkata permintaan domestik mungkin akan terus lemah, terjejas akibat susut nilai ketara ringgit yang akan menjejaskan perniagaan dan keyakinan pengguna, dan mengekang perbelanjaan swasta.

Ia berkata kesan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka terus menjejaskan perbelanjaan perniagaan.

Selain itu, langkah untuk membendung spekulasi hartanah dan menangani harga akan terus dirasai pada 2016, manakala harga minyak yang lebih rendah akan menjejaskan pelaburan minyak  and  gas dan perbelanjaan kerajaan.

Oleh itu, kami menjangkakan permintaan domestik berkurangan kepada pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus pada 2016, berbanding 5.1 peratus pada tahun lepas, apabila pengguna dan perniagaan menyesuaikan diri dengan nilai ringgit yang lemah.

"Oleh itu, kami menjangkakan pelaburan awam akan menyuncup sebanyak 1.9 peratus pada 2016 daripada -1.0 peratus pada 2015.

"Ini selaras dengan langkah kerajaan untuk menjadualkan semula pelaksanaan projek-projek bukan fizikal dan projek yang masih dalam kajian, yang dijangkakan melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga RM5 bilion," kata RHB.

Bagi penggunaan awam, ia menjangkakan angkanya akan perlahan pada kadar 2.1 peratus pada 2016 daripada 4.3 peratus pada tahun lepas, sejajar dengan pemotongan perbelanjaan mengurus dalam bidang seperti bekalan dan perkhidmatan dan geran  and  pemindahan dalam Bajet 2016 yang disemak semula.

Sementara itu, perbelanjaan pengguna dalam sektor swasta dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.5 peratus bagi 2016, berbanding 6.0 peratus pada 2015, ekoran keyakinan pengguna yang terjejas teruk oleh GST serta kebimbangan ke atas prospek pekerjaan.

Walaupun perbelanjaan pengguna mungkin akan kembali meningkat, kami menjangkakan pemulihannya perlahan, terjejas oleh tekanan inflasi yang lebih tinggi disebabkan oleh susut nilai ketara ringgit serta kekangangan tinggi hutang isi rumah, daripada 88.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada Ogos 2015.

Menurut RHB Research, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangkakan semakin perlahan kepada 3.9 peratus pada 2016 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan  pada 2015.

-- BERNAMA
NHIZ NHIZ AS LAT 14/03/2016 13-17ST

Artikel Lain