suria

Kumpulan UEM Laksana Projek Rumah Mampu Milik Akhir Tahun Ini

Wahid (dua dari kanan) di majlis sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan UEM bersama (dari kiri) Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokthar, Timbalan Pengerusi, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi Kumpulan UEM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Izzaddin Idris.

KUALA LUMPUR: Kumpulan UEM Bhd merancang untuk mewujudkan entiti baharu yang akan terlibat dalam pembangunan perumahan mampu milik menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Izzaddin Idris berkata kumpulan itu pada masa ini sedang mengkaji untuk memperkenalkan atau membangunkan sistem binaan baharu yang akan memerlukan kurang tenaga kerja.

"Bagi perumahan mampu milik, jumlah adalah penting. Bagi mendapatkan jumlahnya, kami memerlukan sistem binaan baharu.

"Pada masa ini, kami masih melihat beberapa sistem yang terdapat di negara ini," katanya pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-50 UEM Group di sini, Khamis.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar.

Izzaddin berkata UEM Group telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk projek perumahan mampu milik yang akan terletak berdekatan infrastruktur awam seperti stesen kereta api.

Beliau juga berkata kumpulan itu akan terus memanfaatkan peluang yang luas yang terdapat di Malaysia, selain mengembangkan kedudukannya di negara-negara jiran seperti Indonesia dan India, berdasarkan permintaan kukuh mereka terhadap pembangunan infrastruktur.

Susulan pembukaan Lebuh Raya Tol Cikopo-Palimanan sejauh 116 kilometer, yang dibina oleh UEM di Indonesia pada Jun lepas, katanya kumpulan itu kini sedang menilai beberapa cadangan daripada beberapa pihak yang berminat untuk sama-sama membangunkan lebuh raya baharu.

Sementara itu, Pengerusi UEM Group Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata syarikat melalui unitnya, UEM Sunrise, merancang untuk membangunkan simpanan tanahnya di Durban, Afrika Selatan, kemungkinan dalam projek pembangunan bercampur.

"Pihak pengurusan sedang memuktamadkan cadangan mengenai perkara itu dan ia akan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah pada tahun ini untuk pertimbangan," katanya. -- Bernama

Artikel Lain