suria

Lebih Banyak Stesen BHPetrol Tawar Infiniti Euro 5 Diesel

KUALA LUMPUR: Boustead Marketing Sdn Bhd, yang memasarkan dan mengedar bahan api dan pelincir BHPetrol, meningkatkan rangkaian stesen minyaknya di utara Semenanjung Malaysia untuk menawarkan BHPetrol Infiniti Euro 5 Diesel.

Boustead Marketing berkata BHPetrol kini boleh didapati di stesen minyak BHPetrol di kawasan rehat Tapah Arah Selatan, Perak, di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai tindak balas terhadap permintaan daripada pengguna jalan raya untuk gred diesel yang lebih tinggi.

Tambahan stesen minyak di Perak, Pulau Pinang dan Pahang akan turut mula menawarkan BHPetrol Infiniti Euro 5 Diesel dalam tempoh beberapa bulan akan datang, katanya dalam kenyataan, Rabu.

Menjelang pertengahan tahun ini, katanya, akan terdapat kira-kira 100 stesen  minyak menjual bahan api tersebut bersama petrol BHPetrol Infiniti Advanced 2X.

Sehingga akhir Februari 2016, terdapat 62 stesen minyak yang membolehkan pengguna jalan raya dan pengendali kenderaan komersial mendapatkan BHPetrol Infiniti Euro 5 Diesel, katanya. 

"Ia terletak di Johor, Melaka dan Lembah Klang," katanya. 

BHPetrol merupakan yang pertama menawarkan bahan api yang lebih bersih dengan gred lebih tinggi untuk enjin diesel pada November 2014. 

BHPetrol Infiniti Euro5 Diesel diimport, dengan spesifikasi bahan api maju yang memenuhi standard Euro5 yang ketat di Eropah. -- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain