suria

Ekonomi: Pertumbuhan Perlahan, Bukan Meleset

KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga minyak yang berpanjangan dan pertumbuhan perlahan di China telah mendorong penilaian semula prospek pertumbuhan ekonomi dunia, menyebabkan penghindaran risiko meningkat dan keadaan pasaran kewangan semakin ketat, kata Moody's Investors Service.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, agensi penarafan itu berkata, walaupun persekitaran semasa akan mengekang pertumbuhan di kawasan-kawasan tertentu, ia tidak memberi petanda kemelesetan global.

Moody's berkata ia mengambil tindakan penarafan negatif untuk sejumlah besar korporat, bank dan kerajaan yang hasil, prestasi portfolio pinjaman dan terimaan cukai bergantung dengan banyak kepada pengeluaran minyak dan komoditi lain.

"Tindakan penarafan kami memberi tumpuan kepada penerbit yang terdedah secara langsung kepada harga minyak dan komoditi kerana pada masa ini kami percaya kesan positif daripada harga komoditi yang lebih rendah ke atas pertumbuhan global membantu mengurangkan kesan negatif daripada ketidaktentuan pasaran kewangan," katanya.

Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran baru-baru ini merebak melangkaui sektor tenaga dan komoditi, yang membawa kepada penurunan dalam harga ekuiti global dan peningkatan dalam pulangan bon korporat, katanya.

"Hasilnya, keadaan pasaran kewangan yang semakin teruk dengan ketara - perkembangan yang dipantau agensi penarafan," kata Moody's.

Agensi penarafan itu masih menjangka pertumbuhan dalam kumpulan 20 negara-negara maju kepada stabil pada 1.8 peratus bagi 2016 dan dua peratus bagi 2017.

Menurut Moody's, kesan positif daripada harga komoditi yang lebih rendah, akan mengurangkan faktor-faktor negatif, seperti kelemahan tahap keyakinan pengguna dan perniagaan disebabkan oleh peningkatan turun naik pasaran kewangan dan hubungan dagangan dengan pasaran baru muncul yang semakin merosot.

Moody's

Artikel Sebelum

Artikel Lain