suria

Badan Perabot Itali Intai Kerjasama Dengan Pereka, Pengilang Malaysia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kedai-kedai Perabot Itali  (Federmobili) berminat menjalin usaha sama dengan pereka dan pengilang industri perabot Malaysia.

Presidennya, Mauro Mamoli berkata, usaha sama itu bermatlamat membantu kedua-dua negara menghasilkan produk perabot reka bentuk Timur dan Barat yang menarik untuk pasaran perabot dunia.

"Program perintis, Program Pereka Profesional (PDP), sudah dilaksanakan, yang bakal menyaksikan kemunculan koleksi reka bentuk Eropah dan Malaysia pada Pameran Eksport Perabot Malaysia 2016 di sini bulan ini.

"Inilah contoh hebat, dan usaha sama selanjutnya boleh dilakukan oleh kedua-dua negara untuk menghasilkan perabot menarik untuk dunia," katanya kepada Bernama ada Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2016 yang berlangsung di sini dari 1 hingga 5 Mac.

PDP ialah inisiatif oleh Majlis Penggalakkan Perabot Malaysia bagi membangunkan dan meningkatkan capaian dan skop antarabangsa bagi produk dan sayrikat perabot Malaysia.

Mengenai prospek, Mamoli yakin Malaysia dan Itali dapat menembusi pasaran antara satu sama lain meskipun persekitaran ekonomi kini mencabar.

Beliau bagaimanapun berkata syarikat perabot Malaysia wajar mengambil maklum mengenai cita rasa dan kriteria Itali dari segi kualiti dan kemasan.

"Di Itali, bagi memenuhi standard tertinggi, kami biasanya memberi perkhidmatan kepada sekumpulan kecil pelanggan yang datang dari seluruh dunia menerusi bengkel pengeluaran kecil kami.

"Bagi menangani ekonomi yang mencabar, kami menawarkan perkhidmatan lengkap dan menambah nilai, termasuk perundingan dan gaya tersendiri bagi memastikan kepuasan pelanggan," katanya.

Federmobili ialah persatuan peruncit tradisional bebas Itali yang mewakili 16,0000 syarikat, menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pasaran perabot Itali.-- Bernama

Federmobili, Itali, PDP, Mauro Mamoli

Artikel Lain