suria

BMW Malaysia Perkenal M2 Coupe Buat Kali Pertama

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan kereta coupe sukan premium berprestasi tinggi baharu, M2 Coupe, di BMW Malaysian Open 2016, kejohanan tenis wanita paling berprestij di negara ini.

BMW M2 Coupe baharu itu yang berasal daripada model BMW M GmbH, dijangka meneruskan tradisi dan komitmen ini dengan gabungan prestasi tinggi dan kedinamikan luar biasa di samping reka bentuk yang sangat emotif. 

Ketua Jualan BMW Group Malaysia Raymond Tan berkata M2 Coupe yang diperkenalkan buat kali pertama itu adalah istimewa kerana bilangan yang dihasilkan di seluruh dunia sangat terhad. 

"Kita sangat bertuah kerana memperoleh unit bagi Malaysia bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100 BMW Group. 

"BMW M2 Coupe baharu itu akan sekali lagi mengukuhkan hakikat bahawa kenderaan dengan prestasi premium dan dinamik hanya boleh diukur dengan satu huruf - M - huruf paling berkuasa di dunia!," katanya dalam satu kenyataan. 

BMW Malaysian Open 2016 diadakan di Kuala Lumpur Golf  and  Country Club bermula 29 Februari hingga 6 Mac.

Edisi baharu model M itu menampilkan teknologi generasi terkini M TwinPower Turbo dengan enjin enam silindernya serta mempamerkan gaya daripada kecemerlangan dinamik yang termasuk roda aluminium 19 inci serta sistem eksos sukan dengan paip eksos berkembar. 

Harga runcit bagi BMW M2 Coupe baharu itu tanpa insurans dengan waranti perbatuan tanpa had lima tahun terbaharu BMW Group Malaysia, program servis berjadual percuma dan program waranti tayar BMW, ialah RM498,800. -- Bernama

BMW Malaysia, M2 Coupe, Raymond Tan

Artikel Lain