Pusat Data Malaysia Dijangka Raih Pendapatan RM1 Bilion Menjelang 2017 - MDEC

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2016 7:39 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengendali-pengendali pusat data Malaysia dijangka meraih pendapatan sebanyak RM1 bilion menjelang 2017 dan seterusnya RM2.4 bilion, menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) Datuk Yasmin Mahmood, berkata pada 2014 misalnya, pendapatan industri perkhidmatan (simpanan data) awan dan pusat data meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM795 juta berbanding RM630 juta pada 2013.

MDeC juga yakin industri itu boleh mencapai sasaran ditetapkan berikutan pertumbuhan bilangan pusat data sebanyak 35 peratus bagi tempoh 2011-2014.

"Pusat data adalah pemboleh cara ekonomi serta pemangkin ekonomi digital.

Oleh itu, adalah penting untuk memiliki perkhidmatan ini yang akan bergerak ke kelompok atas rantaian nilai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan 'flexiCloud' REDtone yang juga penyedia platform awan perniagaan-kepada-perniagaan terbesar negara, di sini, Selasa.

Sementara itu, REDtone International Bhd turut menjalin kerjasama dengan firma China, Huawei Technologies Co. Ltd bagi perkhidmatan infrastruktur awan berkenaan.

Malah, kedua-dua pihak telah membuat pelaburan bersama sebanyak RM50 juta hingga RM100 juta dalam 'flexiCloud' REDtone itu, kata Pengarah Urusan Kumpulan REDtone, Datuk Wei Chuan Beng. 

Beliau menyifatkan pelancaran perkhidmatan itu sebagai kena pada masanya berikutan wujudnya permintaan terhadap kemudahan tersebut.

Menurutnya, antara 10,000 dan 20,000 syarikat tempatan melanggan perkhidmatan simpanan data awan luar negara yang bernilai kira-kira RM80 juta setahun.

"Oleh itu, kami melihatnya sebagai peluang segera serta seiring aliran bahawa ramai yang menggunakan perkhidmatan awan ini. Kami juga berharap perkhidmatan 'flexiCloud' itu dapat memberi sumbangan besar kepada pendapatan syarikat," katanya.

FlexiCloud itu antara lainnya menawarkan penyelesaian menyeluruh dan kos efektif bagi perniagaan yang mahu menyelaraskan infrastruktur teknologi maklumat mereka dengan kecekapan strategi perniagaan masing-masing pada kos minimum atau tanpa perlu membuat perbelanjaan modal.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: MDEC , Pusat Data Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan