suria

Proton Masuk Semula Pasaran Chile Selepas 18 Tahun

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd memasuki semula pasaran Chile dengan kereta Preve pemanduan sebelah kiri selepas eksport terakhirnya Proton Wira pada 1998.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kumpulan pertama 50 kereta Proton Preve, daripada sejumlah 1,000 unit yang dijangka dieksport ke Chile tahun ini, akan dihantar ke San Antonio.

"Kereta Proton akan dijual oleh Andes Motor, unit Kaufmann Group, pengedar bagi Chile yang memeterai perjanjian pengedar dengan Proton pada 1 Julai, 2015," kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Esekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata rancangan untuk mengeksport ke Chile bermula apabila Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile dimeterai pada 25 Februari, 2012.

"Proton menikmati pengecualian duti import enam peratus dan kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas inisiatif perdagangan ini yang membolehkan kami mengenal pasti pasaran berdaya maju bagi kereta pemanduan sebelah kiri daripada kami," katanya.

Selain Prev, dua model lain, iaitu Exora dan Saga juga akan dipasarkan di bandar raya utama Chile iaitu Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

"Kami teruja untuk memasuki semula pasaran Chile selepas menjual hampir 3,000 kereta dari 1994 hingga 1998," katanya sambil menambah rakan kongsi Proton, Kaufmann Group, merupakan pengedar utama bas, trak, kereta mewah dengan rangkaian meluas wakil pengedar dan perkhidmatan selepas jualan.

Beliau berkata Proton akan menjadi satu-satunya jenama kereta penumpang Kaufmann Group yang akan dipasarkan bagi pasaran besar-besaran.

Dengan penduduk seramai 17.6 juta orang dan jumlah jualan keseluruhan kenderaan kira-kira 330,000 kereta penumpang, beliau berkata Chile menyediakan potensi pasaran yang amat besar bagi Proton untuk meningkatkan kuantiti pengeluarannya dan mengembangkan jualan serta kehadiran pasarannya.

Abdul Harith berkata Proton yakin ini merupakan permulaan kepada lebih banyak peluang untuk penerokaan ke pasaran global, terutamanya selepas ia menyudahkan program enjin baharunya bagi memenuhi peraturan lebih ketat negara-negara Eropah. 

"Kami akan terus membina kereta yang baik dan melaksanakan penambahbaikan produk agar kami bukan sahaja mencatatkan prestasi yang lebih baik di pasaran tempatan tetapi juga pasaran global," katanya. 

Pelancaran jualan bagi Prev dan Exora di Chile dijangkakan pada Mei 2016 diikuti Saga pada November 2016.

Model yang diperuntukkan bagi pasaran Chile ialah Preve 1.6 Standard Transmisi Manual (MT), Preve 1.6 Executive MT dan Preve 1.6 Premium Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT).

Bagi Exora, model yang disediakan ialah 1.6 Standard CVT dan Exora 1.6 Premium CVT. 

Sementara itu, Saga FLX 1.6 Standard MT dan Saga FLX 1.6 Premium MT akan mula berada di pasaran Chile pada November 2016. --Bernama


Proton Holdings Bhd, Chile, Preve

Artikel Lain