suria

Ekonomi Johor Dijangka Terus Kukuh Berdasarkan Pencapaian Indikator Makro Utama

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) diiringi beberapa anggota Exco Johor, melihat satu daripada gambar majlis yang dilancarkan tahun lalu, pada Majlis Exco Away Day di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada), Selasa.

JOHOR BARU: Ekonomi Johor dijangka terus mengukuh berdasarkan pencapaian indikator makro utama negeri walaupun berdepan kelembapan ekonomi global ketika ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedudukan fiskal Johor kukuh dengan hasil kewangan negeri merekodkan sebanyak RM1.549 bilion, tahun lepas, melebihi 25 peratus daripada anggaran asal berjumlah RM1.239 bilion.

"Perbelanjaan tahunan negeri tidak melebihi hasil dan ini membolehkan akaun mencatat lebihan bagi tahun 2013 hingga 2015. Sehingga 31 Disember 2015, rizab pula adalah sebanyak RM2.63 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Exco Awayday 2016, di sini, Selasa yang turut dihadiri 350 orang termasuk dari jabatan kerajaan, agensi negeri dan persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Mohamed Khaled berkata ekonomi Johor terus mengukuh dan daripada petunjuk yang diperoleh, dianggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor pada tahun lepas antara 4.5 hingga 5.5 peratus, walaupun terkesan daripada kelembapan ekonomi.

Beliau berkata Johor juga mencatatkan pelaburan tertinggi bagi sektor pembuatan untuk tiga tahun berturut-turut dengan sebanyak RM30 bilion setakat September, tahun lepas.

Katanya, syarikat konglomerat milik kerajaan negeri iaitu Johor Corporation (JCorp) juga terus mencatatkan perolehan peringkat kumpulan melebihi RM4.5 bilion dengan keuntungan di atas paras RM400 juta.

"Ini membolehkan kerajaan negeri mendapat agihan dana berjumlah RM11.6 juta bagi tahun 2014 dan 2015. Jumlah berkenaan tidak termasuk pulangan dalam nilai bukan tunai yang jauh lebih tinggi," katanya.--Bernama



Johor, Mohamed Khaled Nordin

Artikel Lain