suria

Iskandar Malaysia Terima RM4.94 Bilion Pelaburan Baharu Pada Suku Keempat 2015

JOHOR BARU: Koridor pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia merekodkan sejumlah RM4.94 bilion pelaburan baharu pada suku keempat 2015, menjadikan jumlah terkumpul pelaburan terjamin dari 2006 hingga 31 Disember tahun lepas bernilai RM190.29 bilion.

Menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dalam kenyataannya, di sini, Isnin, daripada jumlah pelaburan terkumpul itu, sebanyak RM98.47 bilion atau 52 peratus pelaburan telah dilaksanakan.

Daripada jumlah itu juga, sebanyak RM113.68 bilion atau 60 peratus adalah pelaburan domestik manakala 40 peratus lagi atau RM76.60 bilion, pelaburan asing.

Lima negara asing dengan nilai pelaburan tertinggi di Iskandar Malaysia sepanjang tahun 2015 pula ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

Dari segi sektor, industri pembuatan menyumbang pelaburan sebanyak RM54.08 bilion, logistik (RM5.7 bilion), kesihatan (RM2.77 bilion), pelancongan (RM3.1 bilion), pendidikan (RM1.97 bilion), kreatif (RM0.56 bilion) dan perkhidmatan kewangan (RM0.74 bilion).

Pelaburan lain turut disumbang oleh sektor sokongan termasuk harta kediaman (RM40.06 bilion), utiliti (RM12.96 bilion), hartanah runcit (RM45.24 bilion) dan hartanah industri (RM11.29 bilion).

Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Bersama IRDA, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi kenyataan itu berkata, kejayaan meraih jumlah pelaburan itu mencerminkan misi dan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan  pembangunan lestari dan inklusif.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim dalam kenyataan sama juga berkata, ia adalah hasil kerjasama erat dan sokongan semua peserta strategik dalam merealisasikan visi Iskandar Malaysia.

Ismail yakin Iskandar Malaysia akan terus menarik aliran pelaburan yang stabil untuk memberi manfaat kepada komuniti setempat.

"Iskandar Malaysia telah pun memulakan fasa ketiga pembangunannya, yang berlanjutan selama 20 tahun bermula 2006. 

"Fasa terakhir ini menumpukan 'berinovasi dan berketahanan' dan kita boleh melihat projek pemangkin bersedia dan beroperasi iaitu EduCity, Legoland Malaysia dan Studio Pinewood Iskandar Malaysia. Rakyat kini sudah boleh menikmati dan mendapat faedah dari kesan limpahan projek itu," katanya.--Bernama 



Iskandar Malaysia, IRDA

Artikel Berikut

Artikel Lain