suria

Samsung Terus Jadikan Malaysia Pangkalan Di Asean

KUALA LUMPUR: Samsung akan terus menjadikan Malaysia sebagai pangkalan atau habnya di Asean menerusi entiti lain biarpun menamatkan operasi kilang pengeluaran televisyen miliknya di Seremban, Negeri Sembilan, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam kenyataan, Isnin.

Entiti lain Samsung termasuk Samsung Electronics Malaysia Sdn Bhd, Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd dan Samsung SDI Energy Sdn Bhd. 

"Amat malang apabila Samsung Electronics Display (M) Sdn Bhd terpaksa menamatkan operasi kemudahan pengeluaran televisyennya di Seremban. Namun kita maklum bahawa keputusan ini diambil selepas pertimbangan terperinci dilakukan.

"Kita juga difahamkan alasan utama penutupan kemudahan itu disebabkan persekitaran perniagaan yang mencabar, perubahan pasaran serta penstrukturan semula keseluruhan operasi entiti Samsung di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Azman Mahmud dalam kenyataan itu.

Samsung mempunyai lebih 5,000 pekerja di negara ini dan komited memberi program sokongan yang adil dan sewajarnya bagi pekerja yang terbabit.

"Pekerja ini juga boleh diserap ke dalam entiti lain Samsung di Malaysia," katanya.

Mengulas peranan Mida berikutan pengumuman terbaharu Samsung itu, Azman berkara pihaknya akan memastikan kesan minimum terhadap pekerja berkaitan serta pihak dalam rangkaian perkhidmatan berkenaan.

Malah, agensi pelaburan itu akan bekerjasama dengan Samsung bagi memastikan usaha peralihan itu berjalan sebaik mungkin.

"Mida kekal terbuka serta komited untuk menyokong serta memberi kemudahan bagi sebarang rancangan pelaburan Samsung pada masa depan di Malaysia," katanya.

-- Bernama
Samsung, Mida

Artikel Lain