suria

Saham CIMB Meningkat, Walaupun Tahun Kewangan Lemah

KUALA LUMPUR: Harga saham Kumpulan CIMB didagangkan kukuh pagi ini, selepas pengumuman keputusan tahun kewangan 2015 kumpulan itu pada Khamis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu mengumumkan keuntungan sebelum cukainya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015 (FY15) susut kepada RM3.91 bilion berbanding RM4.28 bilion pada 2014, selepas memasukkan kos penstrukturan semula.

Namun, saham syarikat itu meningkat 14 sen kepada RM4.39, dengan 3.68 juta saham bertukar tangan pada 9.49 pagi.

Maybank IB Research dalam notanya berkata nisbah modal CIMB yang lebih tinggi memberi kelegaan kepada pelabur.

"Elemen positif utama pada suku lepas ialah peningkatan nisbah tahap 1 ekuiti biasa penuh (CET1) kepada kira-kira 10.1 peratus berbanding 9.1 peratus pada akhir September 2015.

"Ini mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan ia perlu mengumpul dana dalam tempoh sederhana, dengan sasaran 11 peratus kumpulan itu boleh dicapai," kata firma penyelidikan itu.

Ia berkata pemulihan pendapatan dijangkakan pada FY16, berdasarkan unjuran pulangan Maybank IB ke atas ekuiti sebanyak sembilan peratus bagi FY16.

Maybank IB mengekalkan penarafan 'simpan' ke atas CIMB dengan harga sasaran kekal pada RM4.40.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata keputusan itu yang kurang daripada unjuran, terjejas akibat kos peruntukan dan rasionalisasi.

"Unjuran pada 2016 dijangkakan kurang negatif, dengan ketiadaan peruntukan yang tinggi, dengan pengurusan kekal berhari-hati," katanya.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan cadangan 'beli' ke atas CIMB, dengan sasaran harga yang sedikit rendah pada RM5.00, berbanding RM5.15 sebelumnya.

CIMB

Artikel Lain