suria

Sunway Sasar Jualan Hartanah RM1.4 Bilion Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd mengumumkan bahagian hartanahnya akan melancarkan hartanah bernilai RM1.6 bilion tahun ini, dengan sasaran jualan RM1.4 bilion di rantau ini.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah untuk Malaysia dan Singapura, Sarena Cheah berkata, kumpulan itu mencatat jualan RM1.2 bilion tahun lepas.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus pelancaran tahun ini ialah di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar ((GDV) berjumlah RM1 bilion.

Pelancaran hartanah lain termasuk di Johor dengan GDV RM400 juta manakala di Ipoh dan Pulau Pinang dengan GDV kira-kira RM200 juta.

"Walaupun pasaran yang mencabar, kami menikmati purata kadar pembelian 80 peratus ke atas empat daripada pelancaran hartanah kami di Bangi, Cheras, Ipoh dan Johor dalam tempoh empat bulan lepas.

"Kami mengaitkan kejayaan pelancaran terbabit kepada rekod kami yang kukuh sebagai pakar pemaju komuniti, lokasi pembangunan yang baik serta kesungguhan untuk membina hubungan jangka panjang kepada komuniti yang kami terlibat," katanya kepada kumpulan media di sini, Isnin mengenai prospek hartanah serta rancangan kumpulan untuk tahun ini.

Ketika ini, jumlah jualan Sunway yang belum dibil bernilai RM2.3 bilion.

Bank tanah Sunway berjumlah 1,337 hektar dengan GDV RM47.7 bilion yang akan membuatkan kumpulan itu sibuk dan berkembang dalam tempoh 15 tahun akan datang, tambahnya.-- Bernama

Sunway Bhd, Sarena Cheah

Artikel Lain