suria

Industri Aeroangkasa Malaysia Tarik Pelaburan RM4 Bilion Pada 2015

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa Malaysia menarik pelaburan kira-kira RM4 bilion pada 2015, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata jumlah itu merupakan separuh daripada jumlah pelaburan yang diluluskan berjumkah RM8.7 bilion bagi sektor itu antara 2011 dan 2015.

"Negara sudah membangunkan rangkaian bekalan yang kukuh, meliputi penggiat industri tempatan dan asing.

"Malaysia kini menjadi lokasi operasi 34 syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembaikan, baik pulih, pelenggaraan (MRO), lapan dalam pemasangan pesawat dan 20 pengeluar peralatan pesawat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pembekal Spirit Aerosystems Aerospace-Lembaga Pembangunan Pelaburan MAlaysia (Mida) 2016 di sini, Isnin.

Simposium sehari itu menarik 40 peserta antarabangsa dan 65 pembekal berpotensi dari Malaysia. 

Mustapa juga berkata industri aeroangkasa Malaysia sudah berkembang dengan ketara dan kini menyediakan lebih 19,000 peluang pekerjaan, dengan keseluruhan syarikat yang terlibat melebihi 160. 

Industri itu diunjur menyumbang hasil RM20.4 bilion bagi MRO, RM21.2 bilion bagi pengeluaran aero dan RM13.6 bilion bagi perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk menjelang 2030.

Memetik unjuran pasaran semasa Boeing, Mustapa brekata Asia Pasifik memerlukan hampir 38,050 pesawat baharu komersial bernilai AS$5.6 trilion menjelang 2034.

"Dalam tempoh itu, rantau berkenaan menyumbang pasaran terbesar dengan dengan 38 peratus penyerahan global serta pesawat kargo," katanya.

Menurut Unjuran Pasaran Global Airbus, syarikat itu akan meningkatkan asas penyumberan bekalan di Asia Pasifik kepada 34 peratus berbanding satu peratus ketika ini.

Mustapa dijangkakan mengumumkan prestasi keseluruhan industri itu pada 29 Februari.

Sementara itu, Naib Presiden Spirit Malaysia Scott McLarty berkata Malaysia merupakan pembekal utama sayap untuk model Boeing 737 dan A320 Airbus.

Spirit Malaysia ialah pengeluar bebas terbesar struktur aero dengan perolehan tahunan sebanyak US$7 bilion, dan menjangkakan pertumbuhan dua angka dalam tempoh lima tahun.

"Malaysia merupakan rantau yang sangat penting dan strategik bagi kami. Kami mahu (negara ini) berkembang dan memanfaatkan banyak kelebihan yang disediakan kepada perniagaan kami," kata McLarty.

Beliau berkata Spirit Malaysia perlu membangunkan lebih banyak pembekal (komponen pesawat) yang kini kami miliki bagi merebut peluang dalam industri angkasa, memandangkan semakin ramai membeli kapal terbang dan perniagaan semakin besar.

Airbus sudah mewujudkan hubungan industri merentas Asia-Pasifik dengan bekerja sama dengan pengeluar di negara seperti Malaysia, China, Jepun dan Korea Selatan, bagi membekalkan peralatan yang digunakan dan pelbagai progra pesawat syarikat.

Malaysia menjadi sumber penting bahan komposit yang cekap, dan hubungan  Airbus dengan negara ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana, selain penggiat utama, Composites Technology Research Malaysia (CTRM) Sdn Bhd dan SME Aerospace Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat itu telah menjadi pembekal penting struktur komposit, daripada komponen sayap bagi barisan pesawat A320 dan A350 XWB.-- Bernama

aeroangkasa, Mustapa Mohamed, Mida

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain