suria

Kehadiran SapuraKencana Di Brazil Terus Berkembang

KUALA LUMPUR: Kehadiran SapuraKencana Petroleum Bhd di Brazil terus berkembang dengan penempatan kapal sokongan pemasangan paip (PLSV) keempat, Sapura Jade.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, SapuraKencana berkata, pada 14 Februari 2016, Sapura Jade memulakan kerja untuk perbadanan tenaga Brazil, Petroleo Brasileiro S.A. (Petrobras).

Ia berkata, operasi di luar pesisir sedang dijalankan di Brazil untuk Petrobras oleh syarikat usaha samanya di Brazil, Sapura Navegacao Maritima (SNM), pada kadar 50:50 dengan syarikat penggerudian luar pesisir, Seadrill Ltd.

Pada November 2011 dan Jun 2013, SNM diberikan dua projek besar oleh Petrobras bernilai US$4.1 bilion (US$1 = RM4.20) untuk membina dan mengendali enam PLSV untuk kerja pemasangan paip air dalam luar pesisir negara berkenaan, katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SapuraKencana Petroleum Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, operasi PLSV keempat menunjukkan keyakinan dalam perniagaannya di Brazil serta keyakinan berterusan Petrobras akan keupayaan kumpulan untuk menawarkan prestasi operasi terbaik.

Sapura Jade adalah yang keempat daripada enam PLSV di bawah kontrak jangka panjang Petrobras untuk kerja-kerja pemasangan paip fleksibel di Brazil.

PLSV lain yang sudah beroperasi dengan Petrobras ialah Sapura Diamante, Sapura Topazio dan Sapura Onix, semuanya mula beroperasi mengikut jadual atau lebih awal daripada jadual dan terus beroperasi pada kadar penggunaan yang kukuh.

SapuraKencana

Artikel Berikut

Artikel Lain