suria

PKNS Buka Tender Perumahan Mampu Milik

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuka tender kepada kontraktor siap guna untuk membida projek pembangunan perumahan mampu miliknya, sebagai langkah menangani aliran tunai dan pinjamannya.

Pengurus Besarnya Azlan Md Alifiah berkata pelaksanaan 'Request for Proposal' (RFP) itu dijangkakan pada Jun ini bagi 7,500 unit rumah mampu milik 'Rumah Selangorku' yang akan dibina dalam tempoh lima hingga lapan tahun.

"Kontraktor siap guna bukan sahaja akan membina rumah tetapi juga berupaya untuk membiayai projek itu. Dengan cara ini, kami tidak perlu memperlahankan operasi walaupun situasi ekonomi yang mencabar sekarang.

"Kami juga boleh mengoptimumkan kos, mengehadkan liabiliti dan menggunakan sumber kami berbanding skim kontrak konvensional," katanya.

Azlan berkata jumlah nilai pembangunan kasar bagi 7,500 unit rumah itu dianggarkan RM1.35 bilion, yang mana antara RM225 juta dan RM375 juta akan diberikan subsidi oleh PKNS.

Beliau berkata baki 2,500 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi kaedah konvensional, kerana ia perlu memastikan kontraktor Bumiputera boleh juga menyertai projek tersebut.

Sejak 2012, kira-kira 1,600 pembeli mendapat manfaat daripada skim rumah mampu milik di Selangor, dengan harga bermula daripada RM42,000 bagi rumah dengan keluasan 700 kaki persegi dan sehingga RM250,000 bagi unit dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

"Memandangkan data itu dari segi permintaan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, kami lebih menumpukan kepada jenis C dan D, yang masing-masing berharga dalam lingkungan RM150,000 dan RM250,000.

"Bagaimanapun, kami akan masih memperuntukkan kira-kira 10 peratus bagi A dan B (700-750 kaki persegi) bagi memenuhi permintaan daripada pemohon yang layak bergantung kepada lokasi projek tersebut," katanya.

Dari segi membantu pembeli berpotensi untuk memiliki rumah sendiri, Azlan berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk membantu mereka dengan deposit awal sebanyak 10 peratus dan RM10 juta lagi bagi skim sewa-dan-milik.

Bagi 2016, 431 rumah mampu milik bernilai RM75 juta dijangka siap, yang terletak di Kota Puteri, Gombak (198 unit), U12 Desa Alam, Petaling (104 unit) dan Antara Gapi, Hulu Selangor (129 unit).

"Kami juga menjangka melancarkan pangsapuri mampu milik pertama kami terdiri daripada 500 unit rumah dalam pembangunan bercampur di Taman Sains Selangor 2 di Sepang.

"Pembangunan projek yang akan dilancarkan pada April itu, dijangka bermula awal 2017," katanya.

Azlan menggesa rakyat pendapatan rendah merebut peluang ini untuk memiliki rumah mereka sendiri kerana ia berharga di bawah harga pasaran antara RM180,000 dan RM220,000.

"Justeru, saya menggesa mereka untuk mendaftar dalam talian di http://ehartanah.lphs.gov.my, agar mereka juga boleh memiliki rumah sendiri," katanya. 

PKNS

Artikel Lain