suria

Celcom Axiata, Celcom Mobile Terima Notis Agihan Semula Spektrum SKMM

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd dan Celcom Mobile Sdn Bhd yang juga milik penuh Axiata Group Bhd (Axiata) and Celcom, masing-masing menerima notis pengagihan semula spektrum dua jalur lebar 900MHz dan 1800MHz daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dalam notis kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Axiata berkata, langkah berkenaan adalah seiring dengan keputusan kerajaan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber spektrum berkenaan.

"Jalur lebar yang akan diagihkan kepada Celcom adalah 890MHz kepada 900MHz yang digandingkan dengan 935MHz kepada 945MHz berkuatkuasa 1 Julai, 2017 dan 1745MHz hingga 1765MHz digandingkan dengan 1840MHz hingga 1860MHz daripada 1 Januari, 2017," katanya.

Axiata berkata, peruntukan spektrum Celcom itu berbanding sedia ada akan dikurangkan daripada 2x17MHz kepada 2x10MHz bagi jalur lebar 900MHz dan daripada 2x25MHz kepada 2x20MHz dalam jalur lebar 1800MHz.

"Pengagihan semula ini mengambil kira pembangunan sektor ini serta negara secara keseluruhannya selain memastikan spektrum jalur lebar itu digunakan pada tahap sewajarnya.

"Dalam konteks ini, SKMM akan turut mengendalikan penggunaan spektrum alur lebar lainnya termasuk 700MHz, 2300MHz, 2600MHz menjelang akhir 2016," katanya.

SKMM sebelum ini mengumumkan bahawa jalur lebar 900MHz dan 1800MHz akan dikenakan bayaran dan bagi tempoh 15 tahun.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain