suria

Hasil Boeing 2015 Meningkat 6 Peratus

KUALA LUMPUR: Syarikat aeroangkasa terbesar dunia berdasarkan jualan, Boeing, mencatat hasil yang lebih tinggi, sebanyak US$96.1 bilion tahun lepas, meningkat enam peratus berbanding US$90.8 bilion pada 2014, dengan penyerahan komersial yang mencatat rekod.

Bagi suku keempat, hasil bagaimanapun, susut empat peratus kepada US$23.6 bilion berbanding US$24.5 bilion sebelumnya, kata Boeing.

"Berdasarkan asas prestasi operasi teras kami yang kukuh dan tumpuan kepada pelanggan, Boeing terus menerajui pasaran industri aeroangkasa pada 2015 dengan mencatat rekod penyerahan dan hasil bagi pesawat komersial, selain margin jualan yang kukuh dan padu dalam perniagaan pertahanan dan ruang angkasa.

"Kami juga menjana aliran tunai yang besar untuk merangsang pelaburan dalam inovasi dan tenaga kerja kami, menyediakan pulangan yang menarik kepada pemegang saham," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Dennis Muilenburg.

Beliau berkata berdasarkan tunggakan pesanan yang besar, bernilai hampir US $500 bilion, dan pelbagai kadar pengeluaran tambahan yang masih dalam perancangan dalam dekad ini, Boeing berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan yang menguntungkan dan aliran tunai yang lebih tinggi dalam abad kedua pembabitannya dalam perniagaan.

Boeing mengunjurkan penghantaran jet komersial untuk 2016 berjumlah antara 740 dan 745, dengan hasil dijangka berada dalam lingkungan US$93 bilion hingga US$95 bilion.

"Keutamaan kami pada 2016 dan seterusnya adalah untuk memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam melaksanakan pelan dan komitmen semasa dan melepasinya dengan meningkatkan kemajuan pertumbuhan perusahaan utama dan inisiatf produktiviti, melabur untuk pasukan kami dan mewujudkan nilai dan peluang yang lebih besar untuk pelanggan, pemegang saham dan pekerja," kata Muilenburg.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan 2015, Boeing berkata aliran tunai operasi meningkat kepada US$9.4 bilion, dengan kecairan yang kukuh sebanyak US$12.1 bilion dalam bentuk tunai dan sekuriti boleh pasar.

"Tunggakan kekal kukuh pada US$489 bilion termasuk US$83 bilion tempahan bersih tahun ini," katanya.

Margin operasi suku keempat sebanyak 3.5 peratus, mencerminkan pengumuman mengenai caj pracukai US$885 juta ke atas program 747 dan penyelidikan dan pembangunan (R and D) yang sebahagiannya diimbangi oleh prestasi kukuh dalam  program pengeluaran.

Pada suku keempat, Commercial Airplanes memperoleh tempahan 203 pesawat 737 MAX, katanya dalam kenyataan itu.

Program 737 menarik hampir 3,100 tempahan untuk 737 MAX sejak pelancarannya.

Juga pada suku tersebut, syarikat berkenaan menyiapkan reka bentuk terperinci  787-10 Dreamliner, sistem akhir definisi 777X, dan pelaksanaan pesawat pertama  737 MAX.

Boeing berkata pesawat komersial membuat 321 tempahan bersih pada suku itu dan 768 tempahan bersih pada 2015. Tunggakan kekal kukuh dengan hampir 5,800 kapal terbang bernilai US$432 bilion.

Hasil Defense, Space  and  Security pada suku keempat berjumlah US$7.8 bilion dengan margin operasi sebanyak 12.4 peratus.

Pendapatan suku keempat Boeing Militry Aircraft (BMA) meningkat kepada US$ 3.2 bilion dan margin operasi meningkat kepada 13.7 peratus, mencerminkan jumlah tempahan dan penyerahan yang lebih tinggi.

Pada suku keempat, BMA memperoleh kontrak 15 EA-18G Growlers dan Jepun memilih KC-46 untuk memenuhi keperluan pesawat tangki mereka.

Dalam tempoh itu juga, Perkhidmatan  and  Sokongan Boeing menyerahkan pesawat akhir AEW  and  C ke Turki.

Tunggakan Defense, Space  and  Security berjumlah US$58 bilion, dengan 40 peratus merupakan tempahan daripada pelanggan antarabangsa, kata Boeing.

Boeing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain