suria

Malaysia Airlines, Sabre Rai Kerjasama Industri Pelancongan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines meraikan jalinan hubungan kerjasamanya dengan penyedia terkemuka teknologi industri pelancongan dan pengembaraan global, Sabre Corporation, dalam satu majlis penghargaan, baru-baru ini.

Susulan beberapa siri promosi agensi berkenaan pada 2015 bagi menyokong tempahan penerbangan, kakitangan Malaysia Airlines dan Sabre berkumpul bersama lebih 200 wakil agensi pelancongan di sini, yang turut menyaksikan penghargaan menerusi Anugerah Ejen Pelancongan Paling Produktif Bagi 2015.

"Hasil kerjasama erat dengan Sabre, kami dapat memaksimumkan saluran pengagihan maklumat paling cekap bagi Malaysia Airlines. Ia turut memastikan syarikat dan ejen pengurusan pelancongan tempatan serta asing, mempunyai akses kepada maklumat mengenai tambang dan penerbangan terbaik.

"Kami amat berbesar hati di atas peluang ini dan berterima kasih kepada rakan agensi pelancongan di Malaysia di atas sokongan mereka yang berterusan," kata Ketua Jualan Malaysia Airlines, Laurent Recoura, dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Perkongsian Penyedia Perdagangan dan Strategik Rantau Asia Pasifik Sabre Travel Network, Hans Belle, berkata pihaknya sentiasa meneroka kaedah baharu bagi syarikat penerbangan berkongsi maklumat secara cekap menerusi saluran agensi pelancongan.

"Kempen promosi tempahan dengan Malaysia Airlines misalnya adalah salah satu contoh cara kreatif bagi menyampaikan penyelesaian yang mampu memberi kesan terhadap perniagaan mereka," katanya.

Sabre menjadi pilihan bagi kebanyakan perniagaan pelancongan di serata Asia Pasifik kerana keupayaannya menggabungkan platform teknologi global yang kukuh dengan kepakaran pasaran tempatan dan inovasi perkhidmatan bagi mempertingkat pertumbuhan jumlah pelanggan.

Siri promosi insentif agensi pelancongan Sabre dan Malaysia Airlines diadakan sepanjang 2015 bagi menyokong tempahan untuk syarikat penerbangan itu  menerusi Sabre Travel Network.-- Bernama


Artikel Lain