suria

Agro Equities Sasar Eksport Ikan Arowana Ke Pasaran Baharu

BATU PAHAT: Syarikat penternakan dan pemasaran ikan hiasan, Agro Equities Bhd (AEB), menyasarkan mengeksport ikan kelisa (arowana) ke pasaran pesat membangun yang baharu seperti Filipina, India dan Vietnam, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Seri Marcus Liew berkata tindakan itu didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk ikan hiasan.

"Hanya tiga negara di dunia yang berjaya menternak arowana -- Singapura, Indonesia dan Malaysia," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke tapak ladang penternakan dan kemudahan pembiayakan ikan arowana syarikat itu di sini, Rabu.

Beliau berkata ketiga-tiga negara terbabit mempunyai tanah yang bersesuaian, yang mengandungi kandungan kimia semula jadi untuk habitat (kolam) selain keadaan cuaca yang kondusif untuk pembiakan.

Permintaan eksport arowana AEB kini dari Singapura, China dan Jepun, dan syarikat itu merancang memperuntukkan RM3 juta untuk pemasaran bagi menembusi pasaran pesat membangunan yang baharu, kata Liew.

Selain itu, AEB yang memiliki kepakaran dalam pembiakan dan penternakan arowana emas dan merah, menyasarkan untuk mengakses Taiwan, pasaran matang arowana dalam tempoh 18 bulan akan datang, dan akan memperuntukkan RM2 juta hingga RM3 juta untuk pemasaran.

Liew berkata nisbah pasaran arowana kumpulan itu kini sebanyak 80 peratus bai pasaran luar negara dan 20 peratus dalam negara.

Beliau berkata kumpulan itu yang menguasai 40 peratus pasaran arowana dunia, akan memperoleh lebih banyak kawasan untuk mengembangkan ladang ikannya tahun depan.

Syarikat tempatan itu pada asasnya terlibat dalam perniagaan pertanian dan akuakultur.

Ia memiliki dan mengurus kira-kira 121.4 hektar ladang ikan di Malaysia iaitu di Batu Pahat (Johor), Janda Baik (Pahang), Bukit Merah dan Alor Pongsu di Perak, dan Jelebu (Negri Sembilan). -- Bernama


Artikel Lain