Ringgit Dijangka Stabil Tahun Ini Didorong Sentimen Positif - MIDF

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2016 4:50 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada pada paras stabil antara 4.10 dan 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini memandangkan sentimen terhadap mata wang tempatan berubah secara positif, kata Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Zulkifli Hamzah.

Beliau berkata, sentimen ringgit kembali pulih, bersandarkan peningkatan mata wang itu pada Isnin meskipun harga minyak mentah susut serendah AS$27.67 setong, paras terendah sejak 2003.

"Harga minyak turun sehingga di bawah AS$30 setong, yang mana sebelum ini, jika itu berlaku, ringgit pastinya akan susut (namun ia tidak berlaku).

"Ringgit tidak lagi dilihat sebagai mata wang yang teruk. Ketidaktentuannya semakin reda dan kaitan dengan harga minyak juga tidak boleh dijangka," katanya semasa Hari Eksport 2016 di sini, Selasa.

Zulkifli merupakan antara penceramah bagi sesi bertajuk Unjuran Ekonomi Global 2016. Acara itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Beliau berkata mata wang yang mengalami tekanan pada ketika ini adalah peso (Colombia), ruble (Russia) dan krone (Norway), secara jelas adalah disebabkan harga minyak yang rendah.

Mata wang Afrika Selatan, rand, turut menunjukkan prestasi teruk pada ketika ini disebabkan harga komoditi yang rendah manakala, keadaan peningkatan hutang kerajaan diburukkan lagi oleh pemecatan menteri kewangan yang sangat dihormati baru-baru ini, katanya.

Pada 2015, ringgit susut sebanyak 18.5 peratus namun ia bukanlah mata wang berprestasi teruk di dunia. Unit tempatan itu kembali meningkat semula mulai Oktober tahun lepas dan kemudian menjadi antara mata wang yang terbaik diniagakan meskipun ekonomi mencabar, kata Zulkifli.

Beliau berkata ringgit yang ketika ini sedang mendapatkan keseimbangan baharunya, dijangka tidak diniagakan di bawah 4.00 berbanding dolar AS dalam jangka pendek, memandangkan AS telah menaikkan kadar faedah untuk memberi sokongan kepada mata wangnya.

Bagaimanapun, dolar AS yang kukuh akan mempunyai kesan negatif ke atas ekonomi terbesar dunia itu.

Mengenai ringgit berbanding yuan China pula, beliau yakin mata wang Malaysia akan mencatat prestasi lebih baik tahun ini disokong sentimen yang memberangsangkan.

Justeru itu, beliau menjangkakan bahawa yuan tidak akan menyusut secara  ketara memandangkan mata wang itu adalah antara mata wang rizab dunia, yang mana kerajaan tidak akan membenarkan mata wang tersebut susut dengan begitu banyak.

Mata wang rizab dunia yang lain adalah dolar AS, euro, pound dan yen.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: ringgit , MIDF , Zulkifli Hamzah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan