suria

Malaysia Ke-4 Ranking Pasaran Logistik Pesat Membangun Dunia

SINGAPURA: Usaha Malaysia untuk membangunkan rangkaian  infrastruktur dan pengangkutan bertaraf dunia, meletakkannya di tempat keempat dalam ranking tahunan 45 pasaran pesat membangun dunia, yang dipantau rapat.

Indeks Logistik Pasaran Pesat Membangun Agility 2016, meletakkan Malaysia melepasi Arab Saudi (5), Brazil (6) dan Indonesia (7).

Indeks itu membuat penarafan ke atas pasaran pesat membangun berdasarkan  saiz, kedudukan perniagaan, infrastruktur dan faktor lain yang menjadikannya  menarik kepada penyedia logistik, penghantaran barang, syarikat perkapalan, syarikat penerbangan kargo udara dan pengedar.

Malaysia telah menunjukkan komitmen berterusan mempelbagaikan ekonomi serta membangunkan dan menaik taraf infrastruktur. Ia mempunyai pelabuhan, lapangan terbang, rangkaian jalan raya dan kereta api, taman perindustrian dan taman-taman teknologi bertaraf dunia.

"Ia akan meneraju ketika negara anggota Asean meneruskan usaha untuk mengintegrasikan ekonomi," kata Chris Price, Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pasifik Agility Global Integrated Logistics, Selasa.

Indeks itu yang kini memasuki tahun ketujuh, memberi gambaran mengenai sentimen industri logistik dalam kajian tahunan membabitkan lebih 1,100 eksekutif industri logistik dunia.

China, ekonomi kedua terbesar dunia, kekal sebagai pasaran paling pesat membangun, diikuti Emiriah Arab Bersatu (2), India (3) dan Malaysia di tempat keempat.

Sepuluh negara teratas lain ialah Mexico (8), Rusia (9) dan Turki (10).

Hanya Emiriyah Arab Bersatu mengatasi Malaysia dalam indeks yang mengukur perhubungan - infrastruktur, penyambungan pengangkutan dan kecekapan kastam.

Iklim perniagaan Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam Indeks berkenaan.

Eksekutif dalam bekalan rantaian industri yang ditinjau, meletakkan  Malaysia di tempat ke-10 dalam kalangan negara paling berpotensi untuk berkembang sebagai pasaran logistik.

Agility merupakan antara pembekal terkemuka logistik bersepadu di dunia.

Syarikat senaraian awam itu mencatat hasil lebih daripada US$4.8 bilion dan mempunyai kira-kira 20,000 pekerja di lebih 500 pejabat di 100 negara.-- Bernama

Artikel Lain