suria

Brahim's Jangka Prospek Baik Beralih Kepada Perniagaan Katering

KUALA LUMPUR: Brahim's Holdings Bhd menjangka keputusannya meneroka ke perniagaan katering bukan penerbangan akan meletakkan syarikat itu di kedudukan yang lebih baik dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pemegang sahamnya pada Jumaat meluluskan rancangan untuk menjual 49 peratus pegangan dalam Brahim's Airline Catering Holdings Sdn Bhd, yang terlibat dalam perkhidmatan katering dalam penerbangan, kepada SATS Ltd yang berpangkalan di Singapura dengan harga RM218 juta.

Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat itu dapat mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan katering penerbangan sebanyak sehingga 60 peratus. 

"Kami memutuskan pada mesyuarat lembaga bahawa kami perlu melihat pada perniagaan katering bukan penerbangan dan mengurangkan pergantungan kami kepada katering penerbangan. Namun ia bukan bermakna kami tidak lagi menjalankan perniagaan katering penerbangan. 

"Kami akan melakukan sebaik yang mungkin dan harapnya dapat meningkatkan pertumbuhan katering dalam penerbangan kami," katanya selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat di sini, Jumaat. 

SATS ialah penyedia perkhidmatan dan penyelesaian makanan yang berpangkalan di Singapura yang menyenaraikan Singapore Airlines, Qantas, British Airways, United Airlines dan Silk Air sebagai pelanggannya.

Ibrahim berkata Brahim's akan memanfaatkan kelebihan SATS, yang mempunyai 43 dapur di seluruh dunia dan pemain utama dalam perniagaan katering dan katering penerbangan. 

"Sebagai rakan kongsi strategik kami, SATS akan menyokong hasrat kami untuk meneroka peluang bagi keupayaan katering dapur dalam penerbangan halal.

"Kami akan menggunakan pengetahuan SAT dalam perniagaan katering bukan penerbangan dan memanfaatkan kecekapan utama ini untuk meneroka ke luar negara dengan rakan sejawat asing kami yang mahu meneroka penyediaan katering halal," katanya sambil menambah Brahim's juga memeterai perjanjian dengan Mahsa College untuk menyediakan perkhidmatan katering kepada institusi itu.

"Kami juga merancang kerjasama dengan Tabung Haji dan Keretapi Tanah Melayu Bhd untuk meningkatkan perolehan hasil kasar kami dalam perniagaan katering bukan penerbangan," katanya. -- Bernama

Brahim's, Ibrahim Ahmad, SATS Ltd

Artikel Lain