Pertima Sasar Pendapatan RM120 Juta Bagi 2016

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2016 7:56 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pertima Terengganu Sdn Bhd (Pertima) menyasarkan pendapatannya meningkat kepada RM120 juta bagi tahun kewangan 2016.

Pengarah Urusannya Ruzeli Abu Bakar berkata, sebahagian besar sasaran itu dijangka disumbang oleh segmen produk makanan dalam tin yang merupakan penyumbang terbesar kepada nilai jualan syarikat.

Pada 2015, syarikat mencatat prestasi cemerlang dengan hasil jualan RM84 juta yang turut disumbang oleh kegiatan perniagaan lain syarikat seperti pengetinan, pembuatan makanan dan pelabelan dengan beberapa rakan niaga, katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

"Antara agensi dan persatuan terlibat dengan aktiviti itu ialah Agro Mas, Kedai Rakyat 1Malaysia, Islamic Relief, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia dan Human Appeal Australia," katanya.

Menurutnya sasaran perolehan 2016 turut disokong oleh tempahan tahunan melibatkan pengetinan lebih 70 tan daging kambing korban yang akan dihantar ke negara-negara Islam yang dilanda krisis termasuk kebuluran.

Katanya, selain sardin, Pertima turut mengeluarkan produk kari ayam, kambing dan lembu, selain sambal bilis dan kuah sate.

Pertima juga merancang untuk memperluas rangkaian produk pada masa depan terutama produk yang memenuhi cita rasa pengguna, katanya. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Pertima , Ruzeli Abu Bakar , ikan sardin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan