suria

Iskandar Malaysia Dijangka Tarik Pelaburan RM25-RM30 Bilion Tahun Ini

JOHOR BARU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) yakin Iskandar Malaysia mampu menarik pelaburan baharu berjumlah RM25 bilion hingga RM30 bilion tahun ini meskipun berhadapan cabaran ekonomi sukar.

Ketua Eksekutifnya Datuk Ismail Ibrahim berkata tiga sektor tumpuan yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan tahun ini ialah kesihatan, kreatif dan pelancongan.

"Walaupun kita berada dalam iklim ekonomi tidak menentu, kepelbagaian sektor dan industri boleh membantu memacu pelaburan tahun ini.

"Kita juga dapati jumlah pelaburan tahun lepas juga berjaya melepasi sasaran, jadi kita yakin boleh mencapai prestasi sama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan inisiatif komuniti Iskandar Malaysia ketiga di sini, Khamis.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Tee Siew Kiong.

Dari Januari hingga November tahun lepas, Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM29.83 bilion.

Ismail berkata jumlah pelaburan domestik juga meningkat tahun lepas, dengan setakat November tahun lepas, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM111.82 bilion (sebanyak 59 peratus) kepada jumlah pelaburankomited terkumpul manakala baki RM76.14 bilion atau 41 peratus disumbangkan oleh pelabur asing.

Sejak 2006 sehingga November 2015, jumlah pelaburan komited terkumpul  sebanyak RM187.96 bilion dengan 50 peratus daripada jumlah itu atau RM93.39 bilion telah direalisasikan.

Sementara itu, merujuk kepada pelaburan hab halal, beliau berkata perbincangan dengan beberapa pihak berminat sedang dijalankan.

"Kita akan mengumumkan perkara itu bila sampai masanya," kata Ismail yang enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata beberapa lokasi hab halal yang berpotensi telah dikenal pasti, termasuk Pasir Gudang, Seri Alam, Sedenak dan Nusajaya.-- Bernama


Irda, Iskandar Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain