suria

AirAsia X Optimis Kembali Catat Untung Pada Tahun Kewangan 2016

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X Bhd, yakin untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember, 2016 berdasarkan pengurusan kapasiti baharunya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

"AirAsia X akan membuktikan semua kritikan tidak benar pada tahun ini.

"Ia sesuatu yang Kamarudin (Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun) dan saya akan lakukan. Dan Ben (Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail) dan pasukan melakukan tugas dengan cemerlang.

"Kami yakin AirAsia X akan mencatat keuntungan pada tahun ini. Daripada hanya bercakap sahaja, kami akan menunjukkan hasilnya," katanya kepada Bernama selepas melancarkan semula penerbangan AirAsia X ke New Zealand.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata syarikat mula menunjukkan hasil positif dengan tempahan awal yang menggalakkan melalui strategi perolehan dan pengurusan kapasiti baharunya.

"Laluan AirAsia X kini mencatat prestasi baik. Minyak (harga) memberi manfaat yang agak sedikit kepada kami dan jika mata wang tidak menjadi lebih teruk, saya yakin tahun ini akan mencatat keuntungan," katanya.

Benyamin berkata, kerugian paling besar pada tahun lepas adalah daripada sektor Australia tetapi tahun ini dijangka mencatat prestasi yang amat baik.

Beliau berkata AirAsia X akan memasukkan Hawaii dan China dalam laluan baharunya pada tahun ini selain meningkatkan kekerapan penerbangan pada laluan yang mencatat prestasi baik.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu hari ini mengumumkan penyambungan semula perkhidmatannya ke New Zealand dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland, New Zealand, melalui Gold Coast, mulai 22 Mac.

Benyamin berkata penerbangan akhir AirAsia X ke New Zealand adalah pada 2011 dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Christchurch tetapi menarik balik laluan itu pada tahun berikutnya selepas gempa bumi di Canterbury yang menyebabkan trafik merosot.

"Kami yakin laluan ini akan berkembang maju, berdasarkan kejayaan yang kami capai daripada laluan Australia kami yang lain," katanya.-- Bernama


Artikel Lain