suria

Lay Hong Cadang Beli 10 Peratus Pegangan Dalam Firma Jepun

KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan ternakan, Lay Hong Bhd (LHB), mengemukakan cadangan untuk melaksanakan tawaran persendirian 10 peratus pegangan dalam firma berpangkalan di Jepun, NH Food (NHF) Ltd pada  RM30.50 juta.

LHB memeterai perjanjian langganan saham dengan NHF bagi tawaran 5.25 juta saham pada RM5.81 setiap saham langganan, demikian menurut syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Harga saham langganan berdasarkan kepada diskaun kira-kira 10 peratus kepada harga pasaran purata wajaran selama lima hari sebelum tarikh perjanjian penjualan saham.

Cadangan tawaran persendirian itu akan meningkatkan asas modal LHB.

NHF pada dasarnya terlibat dalam pengeluaran antaranya daging segar, makanan diproses dan produk tenusu.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LHB dan NHF mengumumkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk mewujudkan usaha sama bagi memajukan dan mengukuhkan kerjasama ekonomi strategik.

Mengikut perjanjian itu, NHF akan menyumbang kepakarannya dalam penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran makanan diproses, jualan dan eksport makanan diproses ke pasaran seberang laut termasuk Singapura dan Jepun.

LHB akan bertanggungjawab bagi operasi perniagaan di Malaysia, termasuk pelesenan, percukaian, pensijilan, termasuk memperoleh pensijilan halal, logistik serta jualan dan pemasaran di Malaysia. 

Lay Hong, Jepun

Artikel Lain