suria

Perda Rancang Wujud Koperasi Lahir Lebih Ramai Usahawan Muda

TASEK GELUGOR: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) merancang untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda di negeri ini yang bergerak secara berkumpulan melalui penubuhan koperasi mengikut bidang perniagaan yang diusahakan mereka.

Pengerusi Perda, Datuk Shahbudin Yahya berkata penubuhan koperasi seumpama ini adalah langkah tepat kerana ia akan menjadikannya lebih tersusun, bertahan lama dan memudahkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan.

"Pihak Perda menjalankan pelbagai usaha untuk melahirkan lebih ramai usawahan muda dan pada tahun lepas kami telah melancarkan sebuah koperasi yang ahlinya terdiri daripada sekumpulan usahawan dalam bidang penyiaran awam.

"Alhamdulilah ia berjaya dan mereka kebanyakkannya terdiri daripada deejay (juruhebah) di rumah kenduri kini mampu bergerak lebih jauh sehingga memperoleh pendapatan lebih RM4,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada pesakit kronik di Pokok Sena, di sini, Ahad.

Menurutnya, ekoran daripada kejayaan itu Perda merancang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya empat koperasi membabitkan pelbagai usahawan pada tahun ini.

Sementara itu, mengenai pengubahsuaian Bajet 2016, Shahbudin yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor meminta rakyat memberikan kepercayaan kepada kerajaan yang sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik ketika berdepan dengan cabaran ketika ini terutamanya kejatuhan harga minyak dunia.

Menurutnya, beliau percaya pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibuat adalah langkah terbaik demi kepentingan rakyat dan juga negara. -- Bernama


Perda, Shahbudin Yahya, Tasek Gelugor

Artikel Lain