suria

OK Group Sasar Jualan Produk Lebih RM100 Juta Tahun Ini

MELAKA: Syarikat pengeluar minuman herba, Orang Kampung Holdings (M) Sdn Bhd (OK Group) menyasarkan jualan produk bernilai lebih RM100 juta pada tahun ini berbanding kira-kira RM60 juta pada tahun lepas.

Pengurus Besar Kumpulan Ismail Ali berkata sasaran berkenaan diyakini dapat dicapai kerana OK Group akan memberi penekanan pada jualan atas talian dalam usaha menarik lebih ramai pengguna dalam kalangan remaja.

"Pada tahun ini, OK Group bukan sahaja merancang memperbaiki medium pengedaran produk sedia ada yang kita sasar sebelum ini di pasaran konvensional iaitu di kedai-kedai biasa tetapi juga kita akan memperluas pasaran di pasar raya atau pasar raya besar.

"Selain itu kita juga akan memerluaskan produk sedia ada secara online kerana kita tahu golongan belia atau remaja pada hari ini kerap menggunakan medium media sosial dalam kehidupan harian mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Peraduan Bonanza OK 2015 di sini.

Ismail berkata syarikat itu juga merancang mengeluarkan dua atau tiga produk baharu minuman tenaga pada tahun ini dalam usaha meningkatkan jualannya.

Katanya, salah satu produk minuman berkenaan dijangka dikeluarkan pada akhir suku tahun ini yang mampu membekalkan tenaga kepada pengguna dalam keadaan memenuhi tuntutan kerja yang semakin mencabar pada hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata OK Group juga akan memperkenalkan pendaftaran secara atas talian bagi Peraduan Bonanza OK, yang akan diadakan pada tahun hadapan.

"Kita jangkakan penyertaan peserta bagi Peraduan Bonanza ini turut akan meningkat di mana lebih 8,000 pengguna produk menyertai peraduan ini tahun lepas," katanya. -- Bernama



OK Group, Ismail Ali

Artikel Lain