suria

Jenama Fonebud Malaysia Tarik Perhatian Di Pameran Elektronik Las Vegas

LAS VEGAS: Aksesori telefon pintar, Fonebud Essential Plus, yang dipamerkan oleh Pensonic Holdings Bhd dari Pulau Pinang di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di sini berjaya menarik perhatian ramai pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pensonic, Dixon Chew berkata, beliau sangat gembira dengan sambutan daripada pengunjung perdagangan dan memuktamadkan beberapa janji niaga bagi siri produk Fonebud semasa pameran itu.

Beliau berkata syarikat itu juga menerima 'pertanyaan perniagaan yang sangat baik' daripada pembeli dari Jepun, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

"Secara umumnya, kami berpuas hati dengan penyertaan kedua kami di pameran tahunan ini. Kami mendapat peluang bukan sahaja untuk mempamerkan produk kami tetapi juga pendedahan kepada produk yang sama dan teknologi terkini yang dipamerkan," katanya kepada Bernama di luar pameran itu, di sini. 

Fonebud Essential Plus adalah kemuncak kepada kerjasama antara Pensonic dan Sunweu Sdn Bhd yang berpangkalan di Bayan Lepas. 

Kedua-dua syarikat itu menyediakan konsep dan membangunkan peranti tersebut dengan memanfaatkan kekuatan penjenamaan, pembangunan produk dan pengurusan rantaian bekalan Pensonic serta pengetahuan dan pengalaman Sunweu dalam memasarkan dan mengedarkan jenama aksesori telefon mudah alih antarabangsa.

Fonebud Smart Companion Series ialah sumber kuasa bagi telefon pintar, tablet dan peranti USB mudah alih dan lain-lain. Ia berfungsi sebagai telefon sokongan dengan hubungan blue-tooth, peranti penjejakan, penggera peribadi dan ciri-ciri berguna lain. 

Jenama inovatif ini dipanggil "Fonebud" dan produknya dinamakan "Fonebud Essential Plus".

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Los Angeles Rusiah Mohamed berkata pengeksport produk elektrik dan elektronik Malaysia akan terus meraih keuntungan di AS. 

Produk utama yang diperlukan termasuklah litar bersepadu elektronik, semikonduktor, bantuan pengemudian dan komponen elektrik dan elektronik lain yang digunakan dalam pembuatan produk elektronik pengguna, katanya. 

"Permintaan bagi perkakas elektrik bagi telefon talian dijangka kekal kukuh, bersama dengan alat radar/bantuan pengemudian, membolehkan Malaysia mengeksport lebih banyak lagi produk-produk ini," katanya. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain