suria

RM79.8 Juta: Ekuinas Labur Sektor Penjagaan Kesihatan

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) membuat penyertaan sulung dalam sektor penjagaan kesihatan apabila melabur sebanyak RM79.8 juta dalam dua buah Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga (TPA).

Pelaburan itu merangkumi pembelian 60 peratus ekuiti dalam Express Group (MediExpress), yang terdiri daripada MediExpress (M) Sdn Bhd dan Health Connect Sdn Bhd, serta 60 peratus lagi pegangan dalam PMCare Sdn Bhd.

MediExpress merupakan Organisasi Penjagaan Terurus terkemuka yang beroperasi sebagai TPA untuk insurans syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana, manakala PMCare pula penyedia perkhidmatan TPA bumiputera terkenal yang menumpukan kepada segmen pelanggan korporat.

Dua syarikat ini kemudiannya akan digabungkan di bawah sebuah syarikat pegangan, untuk membentuk penyedia TPA terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran 40 peratus serta lebih dua juta anggota, menurut syarikat pengurusan dana ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu dalam satu kenyataan di sini.

TPA berkenaan akan berperanan sebagai penghubung antara pengguna, pembiaya perubatan dan penyedia penjagaan kesihatan, secara langsung memanfaat pasaran penjagaan kesihatan dan insurans kesihatan.

Sektor penjagaan kesihatan merupakan antara enam sektor sasaran yang dikenal pasti Ekuinas untuk pelaburan, dan pasaran TPA menawarkan sub sektor yang berkembang pantas dengan saiz anggaran semasa RM100 juta serta dijangka meningkat 10 peratus setiap tahun untuk mencapai RM156 juta pada 2019.

"Ia menyediakan platform kepada Ekuinas untuk membentuk penyedia perkhidmatan TPA terkemuka di Malaysia dan serantau seiring dengan mandat Ekuinas untuk mewujudkan syarikat pasaran masa hadapan terkemuka," kata Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Sementara itu, Ekuinas turut mengumumkan ia membuat pelaburan susulan sebanyak RM70 juta dalam Orkim Sdn Bhd untuk membantu syarikat itu membiayai pembelian tambahan tiga kapal tangki produk petroleum bersih (CPP).

Ia menambah jumlah kapal keseluruhan yang dimiliki Orkim kepada 14, menjadikannya penyedia pengangkutan CPP terbesar di Malaysia, dengan anggaran penguasaan pasaran 24 peratus.

Pada Disember 2014, Ekuinas melabur RM346.3 juta bagi 95.5 peratus pegangan dalam Orkim sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mewujudkan kumpulan logistik dan pengangkutan petroleum hiliran serantau terkemuka.

Berlandaskan pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan dan pelaburan susulan berjumlah RM149.8 juta, serta pelaburan yang dibuat di bawah Program Penyumberan Luar, Ekuinas telah melaksanakan sejumlah 38 pelaburan sejak penubuhannya.

Menurut Ekuinas, beserta pelaburan bersama daripada rakan kongsi sektor swasta, ia telah memudahkan penyelerakan ekonomi sejumlah RM3.2 bilion, yang memberi kesan kepada ekonomi Malaysia secara positif.-- Bernama



Ekuinas, kesihatan, MediExpress

Artikel Lain