Top Glove Sedia Ambil Alih 2-3 Syarikat Sarung Tangan Menjelang Ogos

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 2:29 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Top Glove Corp Bhd yang merupakan pengeluar sarung tangan getah yang terbesar di dunia, sedang bersedia untuk membeli dua atau tiga syarikat sarung tangan tempatan menjelang Ogos tahun ini.

"Kami telah menyenarai pendek ketiga-tiga syarikat ini, yang semuanya terkait dengan industri getah dan kami merancang untuk memperoleh 2-3 syarikat menjelang tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2016," kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai kepada media dan penganalisis pada taklimat di sini, Rabu.

Syarikat itu telah memperuntukkan antara RM100 juta hingga RM1 bilion bagi membiayai pengambilalihan ini.

"Kami mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk membiayai pengambilalihan ini atau jika tidak, kami akan meminjam daripada bank atau mungkin melalui penerbitan saham," katanya sambil menunjukkan bahawa Top Glove memiliki tunai bersih sebanyak RM850 juta.

Katanya, pengambilalihan dua atau tiga syarikat khususnya yang berkaitan dengan sarung tangan menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Top Glove.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lim Guan Cheong berkata jualan syarikat  dijangka berkembang sebanyak 10-15 peratus dari tahun ke tahun pada 2016 berbanding 8-10 peratus sebelum ini.

Pertumbuhan jualan itu akan disokong oleh pengembangan Kilang 29 di Klang, yang akan beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun kewangan 2015.

"Kilang 27 di Lukut, Port Dickson, pula akan siap pada Februari, ini akan menambah kapasiti nitril tambahan," katanya. Guan Cheong berkata, kadar penggunaan semasa syarikat iaitu kira-kira 75-78 peratus juga boleh menyumbang kepada pencapaian sasaran jualan tanpa penambahan kapasiti baharu.

Bilangan barisan pengeluaran syarikat dijangka meningkat kepada 540 dan mampu mengeluarkan 52 bilion sarung tangan setahun sebaik sahaja, Kilang 6 di Thailand mula beroperasi pada Ogos dan ini bakal disokong oleh Kilang 30 yang dijangka memulakan pengeluaran pada Februari 2017.

Top Glove merekodkan pertumbuhan dalam jualan sebanyak 15 peratus untuk suku pertama berakhir November 2015.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Top Glove , Lim Wee Chai , sarung tangan

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan