suria

Rayani Air Sasar 10 Tahun Manfaatkan Pasaran Umrah, Haji

Petugas syarikat penerbangan Rayani AIr menyelesaikan urusan daftar masuk para penumpang pada hari pertama penerbangan Rayani AIr RN0600 ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Ahad. Foto Bernama

LANGKAWI: Rayani Air, syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, menetapkan sasaran 10 tahun untuk mewujudkan rangkaian bagi memanfaatkan pasaran umrah dan haji, kata Pengarah Urusannya, Jaafar Zamhari.

Beliau berkata untuk permulaan, syarikat penerbangan itu yang baharu sahaja mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam untuk beroperasi, mengambil 'langkah kecil' untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah undang-undang Islam dalam operasi mereka sebelum melaksanakan lebih banyak rancangan dalam beberapa tahun akan datang.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam memperkemaskan langkah kami dari semasa ke semasa dan hasrat utama kami adalah memanfaatkan pasaran (umrah dan haji)," katanya kepada pemberita selepas tiba dengan penerbangan sulung Rayani Air dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini, Ahad.

Katanya, Rayani Air telah memperoleh dua buah pesawat Boeing 737-400 untuk menawarkan perkhidmatan di KLIA2 di Kuala Lumpur dan Kota Baru (Kelantan) dengan LIA sebagai hab operasi mereka, sebelum Kuching dan Kota Kinabalu pada tahun depan.

"Harapan kami keputusan menjadikan Langkawi sebagai hab operasi akan menyumbang ke arah menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan iaitu pelancong akan datang ke sini dahulu sebelum ke destinasi pelancongan lain di negara ini," katanya.

Syarikat penerbangan itu turut merancang untuk menambah dua buah lagi pesawat Boeing 737-400 dan dua 737-800 dalam kumpulan pesawat mereka menjelang 2017 sebagai langkah untuk meningkatkan laluan domestik dan kekerapan penerbangan. - Bernama

Rayani Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain