suria

Kenaikan Kadar Faedah AS Beri Kesan Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengumuman kenaikan 25 mata asas kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka memberi kesan minimum kepada ekonomi Malaysia kerana pasaran telahpun bersedia menghadapi situasi itu.

Terdahulu, sebelum itu para penganalisis pasaran melahirkan kebimbangan langkah tersebut akan menjejaskan lagi ekonomi Malaysia dan serantau.

Seorang pakar ekonomi MIDF Research berkata apabila pengumuman kenaikan itu dibuat ia hanya memberi kesan sedikit kepada pasaran tetapi berita kemungkinan kenaikan kadar faedah yang disebarkan sejak awal tahun ini lagi telah mencetuskan keadaan tidak menentu dalam pasaran global.

"Justeru itu, kami menjangkakan pasaran akan lemah kerana kenaikan itu telah diambil kira dan dijangkakan sejak sekian lama," katanya.

Fed akhirnya menamatkan era kadar faedah hampir sifar di Amerika Syarikat sejak Disember 2008 apabila krisis mencengkam pasaran kewangan global ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan keadaan tidak menentu yang dijangka menyelubungi ekonomi Malaysia pada 2016, tekanan ke atas ringgit diunjur berterusan disebabkan oleh harga minyak dan komoditi rendah dalam jangka masa pendek.

Harga minyak mentah Brent turun US$1.26 kepada US$37.19 setong ekoran lebihan bekalan global.

"Bagaimanapun, dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang, kami menjangkakan prestasi ringgit yang lebih baik berikutan sentimen negatif yang semakin mereda," katanya.

Pada 9.00 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.3115/3185 berbanding dolar AS daripada 4.3200/3300 pada Rabu.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata kadar kenaikan faedah seterusnya Fed mungkin secara beransur-ansur pada tahun depan dan Bank Negara Malaysia dijangka tidak mengubah kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.25 peratus sepanjang tahun.

"Malahan sekiranya Fed menaikkan kadar dasarnya sebanyak 75-100 mata asas pada 2016 daripada paras sekarang, perbezaan kadar faedah antara kadar Fed dan OPR Malaysia masih besar dan positif," kata Affin dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu berkata bank pusat dijangka mengekalkan pendirian dasar akomodatifnya sekarang untuk menyokong permintaan domestik negara, terutamanya perbelanjaan penggunaan swasta.

Amerika Syarikat, Ekonomi, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain