suria

Ringgit Mungkin Cecah 4.30 Kepada Dolar AS Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap lebihan berterusan minyak dunia mungkin menyebabkan harga komoditi itu meneruskan aliran harga menurun minggu depan, dan ini akan memberi tekanan ke atas ringgit untuk melepasi paras 4.30 sedolar, kata seorang pedagang mata wang.

"Kebimbangan terhadap lebihan bekalan minyak mentah masih kekal. Satu lagi kejatuhan harga minyak mentah akan mencetuskan jualan ke atas mata wang ekonomi pesat membangun yang berkaitan eksport minyak, termasuk ringgit.

"Harga minyak mentah yang rendah, serta kenaikan kadar faedah US yang semakin hampir, akan mengembalikan ringgit ke paras lemah melepasi 4.30 sedolar US minggu depan," katanya.

Pada Jumaat, penanda aras global minyak mentah West Texas Intermediate susut 1.1 peratus kepada US$36.76 setong, penyelesaian terendah sejak 2009, manakala Brent yang didagangkan di peringkat antarabangsa masih berlegar pada paras terendah dalam tujuh tahun pada US$39.64 setong.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan US bagi memuktamadkan kenaikan, dijadual berlangsung pada 15-16 Dis dan ringgit dijangkakan mengalami dagangan berhati-hati minggu depan dengan dolar dijangkakan mengukuh berikutan kenaikan kadar faedah itu.

"Walaupun kenaikan itu sudah pun diambil kira, pelabur seolah-oleh merasa selamat memegang dolar berdasarkan isyarat Rizab Persekutuan US yang berkemungkinan menaikkan (kadar faedah) secara agresif, selepas mesyuarat minggu depan," kata seorang peniaga lain.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit susut 685 berbanding dolar US kepada 4.2900/2950 berbanding 4.2215/2265 Jumaat sebelumnya.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0484/0543 berbanding 3.0197/0254 Jumaat lepas, rendah berbanding yen kepada 3.5199/5251 berbanding 3.4369/4421 minggu lepas dan rendah berbanding pound British kepada 6.5049/5142 daripada 6.3762/3858 sebelumnya.

Ia juga rendah berbanding euro kepada 4.7048/7112 daripada 4.5879/4951 sebelumnya.

Dolar, Ringgit

Artikel Lain