suria

Zurich Insurance Sasar Tingkat Premium

KUALA LUMPUR: Zurich Insurance Malaysia Bhd menyasarkan untuk menggandakan premiumnya kepada RM3 bilion berbanding RM1.5 bilion ketika ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip Smith.

Syarikat insurans itu juga berharap untuk meningkatkan bahagian pasarannya kepada lima peratus dalam masa lima tahun akan datang berbanding 3.5 peratus, ketika ini.

"Kami masih baharu di Malaysia iaitu empat tahun di pasaran jika dibandingkan dengan (syarikat insurans) lain seperti Prudential atau AIA.

"Strategi kami adalah untuk membina kekuatan syarikat ini di bandar kecil dan bandar pesat membangun serta di sini (Kuala Lumpur)," katanya kepada wartawan selepas majlis pelancaran program 'Eat Right to Play Right,' di sini, Selasa.

Inisiatif oleh Persekutuan Bola Sepak Asia, World Vision International dan Persatuan Bola Sepak Malaysia itu adalah program komuniti bersepadu oleh Zurich Insurance serta One Goal Malaysia.

Menerusi kerjasama yang menyaksikan Zurich Insurance menyumbang RM1 juta setahun, beberapa siri klinik bola sepak dan aktiviti kemasyarakatan lain akan diadakan khusus bagi budak lelaki dan perempuan berusia lima sehingga 12 tahun di kawasan terpilih sekitar negara ini.

Selain itu, sejajar pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang akhir tahun ini yang turut membabitkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Smith berkata syarikat itu sememangnya memiliki produk yang mampu memenuhi permintaan segmen itu.

"Sektor PKS amat besar dalam ASEAN dan turut menjadi penjana utama ekonomi di negara ASEAN yang saya kunjungi. Kalangan pengusaha PKS ini agak berbeza kerana memerlukan perlindungan (insurans) khas.

"Mereka tidak perlukan jenis yang amat sofistikated, tetapi perlindungan yang menepati keperluan diingini dan boleh diproses cepat, melindungi premis mereka jika berlaku sebarang rompakan dan sebagainya," katanya.

Menurut Smith, Zurich Insurance ketika ini hanya memiliki satu produk, Optimuz yang menepati keperluan pasaran PKS.

Ia adalah produk berteraskan keperluan dengan menawarkan lapan jenis perlindungan bagi memenuhi pelbagai jenis tuntutan bagi PKS.

Zurich Insurance

Artikel Berikut

Artikel Lain