suria

Johor Port Peroleh Hak Pengendalian Projek Rapid Daripada Petronas

KUALA LUMPUR: Petronas Refinery  and  Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) memberi hak pengendalian kemudahan pemunggahan bahan(MOLF) Teluk Ramunia di Pengerang kepada Johor Port Bhd.

PRPC adalah anak syarikat di bawah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) manakala Johor Port adalah anggota MMC Corporation Bhd.

Menurut Johor Port, majlis penyerahan dan permulaan operasi itu yang berlangsung baru-baru ini di Wharf C1 telah memuktamadkan kontrak hak pengendalian pelabuhan selama empat tahun tersebut.

"Sebagai pengendali pelabuhan, Johor Port akan menguruskan tanggungjawab logistik dan operasi di MOLF untuk projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang.

"Kami akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh, daripada perkhidmatan marin, tenaga kerja, kelengkapan dan sistem untuk mengendalikan dan menguruskan MOLF Teluk Ramunia," menurutnya dalam satu kenyataan, Selasa.

MOLF Teluk Ramunia terdiri daripada empat kemudahan kawasan pelabuhan bagi pergerakan kapal dan kapal berlabuh dengan kedalaman air lima meter, yang akan digunakan untuk menerima anggaran tiga juta tan kontena dan kargo pukal cerai.

Kargo berkenaan akan dibawa ke tapak projek RAPID melalui laluan tahan lasak sepanjang 15 kilometer.

Rapid merupakan usaha hiliran terbesar baharu Petronas di Malaysia dengan enam kemudahan berkaitan utama, membentuk Kompleks Bersepadu Pengerang bersedia untuk memulakan kilang penapisannya pada awal 2019.

Kemudahan yang berkaitan adalah Loji Penjanaan Bersama Pengerang, Terminal Regasifikasi 2, Unit Pengasingan Udara, Projek Bekalan Air Mentah, Terminal Laut Dalam 2, serta Kemudahan dan Utiliti Pusat dan Bersama. -- Bernama

Johor Port, Petronas, MOLF, Rapid

Artikel Sebelum

Artikel Lain