25 Syarikat Tunai Zakat Perniagaan RM3.2 Juta

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 12:30 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Isnin menerima zakat perniagaan daripada 25 buah syarikat berjumlah RM3,191,390.31 Majlis bayaran zakat ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini.

Northport (Malaysia) Bhd mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM1,661,353, diikuti Cyberview Sdn Bhd sebanyak RM1,000,000 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM500,000.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Sirim QAS International Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat sebanyak RM375,000, Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad sebanyak RM116,937.84 dan KSS Otomobil Sdn Bhd sebanyak RM100,000.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM317,858.10. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM220,932.00 diagihkan bagi bantuan Dermasiswa Pelajaran dan Yuran IPT bagi pelajar asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, dua individu lagi menerima bantuan perubatan. Mereka ialah Abdul Salam Arifin yang menerima bantuan perubatan bagi pembelian implan untuk penyakit jantungnya berjumlah RM37,100 dan Mohd Azlan Jamaludin menerima bantuan zakat berjumlah RM23,744 untuk rawatan pembetulan tulang belakang anaknya, Ainil Hawa Mohd Azlan. Manakala, Zuraini Ghazali menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM36,082.10 bagi menjalankan perniagaan makanan.

Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sempena Kempen eZakat Online (eZO). Rosmawati Ali berjaya memenangi hadiah berupa pakej umrah setelah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama.

Manakala, Nor Farah Hidayah Ramlan dan Masri EE Hashim EE masing-masing mendapat hadiah tempat pertama dan kedua yang bawa pulang hadiah berupa pakej pelancongan, dan Amilia Afzan Mohd Jamil mendapat tempat ketiga membawa pulang sebuah gajet.

Tags / Kata Kunci: LZS , Zakat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan