suria

Penyusutan Untung Bank-Bank Mungkin Beri Tekanan Modal - Moody's

SINGAPURA: Kemerosotan untung bank-bank Malaysia berkemungkinan menyebabkan tekanan terhadap modal, kata Moody's Investors Service.

Menerusi laporan Unjuran Kredit Moody's yang dikeluarkan hari ini, agensi penarafan itu berkata pada 30 Nov lepas, RHB Bank Bhd (penarafan stabil A3/A3, baa3) mengumumkan keputusannya bagi tempoh sembilan bulan pertama 2015 yang menunjukkan penyusutan keuntungan serta pendapatan yang terjejas.

Keputusan itu juga seiring dengan dicatatkan bank-bank lain Malaysia yang disebabkan peningkatan kos kredit dan penyusutan margin faedah bersih (NIM)  iaitu kredit negatif yang boleh menyebabkan tekanan modal.

"Kami menjangkakan kemerosotan keuntungan bank-bank Malaysia akan berterusan pada 2016 berikutan persekitaran operasi yang kekal mencabar.

"Antara kumpulan perbankan Malaysia yang diberi penarafan iaitu AmBank (M) Bhd (positif Baa1/Baa1, Baa3); CIMB Group Holdings Bhd (positif Baa1 / Baa1); CIMB Bank Bhd (positif A3/ A3,Baa2); Hong Leong Bank Bhd (positif A3/A3, Baa1); Malayan Banking Bhd (positif A3/A3,a3) dan Public Bank Bhd (A3/A3 positif, a3) turut mengumumkan pendapatan mereka bagi September 2015, baru-baru ini," kata Penganalisis Bersekutu, Kumpulan Institusi Kewangan Moody's Investors Service Singapore Pte Ltd, Dan Pek.

Moody's berkata, bank-bank berkenaan mempunyai penarafan positif berikutan penarafan sama yang dinikmati oleh Kerajaan Malaysia (positif A3).

Menurutnya, faktor seperti pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, penurunan harga komoditi serta turun naik mata wang di rantau ini ternyata menyumbang kepada peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL) dan kos kredit dalam kalangan bank-bank Malaysia.

"Purata kerugian peruntukan kumpulan perbankan berkenaan sebagai peratusan pendapatan praperuntukan itu meningkat kepada 9.37 peratus bagi sembilan bulan pertama 2015 daripada 5.52 peratus bagi tempoh sama, tahun lepas," katanya.

Menurut Moody's, kumpulan perbankan yang memiliki pendedahan pinjaman luar negara yang lebih besar mencatat kerugian peruntukan pinjaman tertinggi sebagai peratusan daripada pendapatan sebelum peruntukan, iaitu seperti CIMB Group pada 36.82 peratus dan Maybank pada 15.00 peratus.

Bank-bank berkenaan turut memiliki peningkatan NPL terbesar di luar Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama 2015.

Nisbah NPL luar negara CIMB Group meningkat kepada 4.61 peratus pada bulan  September 2015 daripada 3.71 peratus pada akhir 2014 manakala nisbah Maybank meningkat kepada 1.35 peratus daripada 1.03 peratus pada akhir tahun 2014.

Maybank turut mencatatkan kemerosotan aset yang sederhana bagi portfolio pinjamannya di China, Vietnam Indonesia dan Filipina manakala CIMB Group mencatatkan kenaikan NPL terbesar di Indonesia dan China.

Agensi penarafan itu berkata, peningkatan kos kredit itu turut menjejaskan keuntungan serta pulangan atas aset (ROA) pula turun ke tahap terendah dalam masa tiga tahun.

Purata ROA bagi tujuh institusi itu susut 24 mata asasnya kepada 1.03 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2015 daripada 1.27 peratus bagi tempoh sama pada 2013.

Singapura, Moody's

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain